03/07/2026 10:13 PM

Niaga Hadapan MSM Susut Dipengaruhi Jangkaan Pengeluaran, Stok Meningkat

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 3 Julai  (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives terus susut pada akhir dagangan Jumaat, diasak kebimbangan berkaitan peningkatan pengeluaran selain jangkaan paras stok simpanan yang lebih tinggi.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata sentimen pasaran turut dijejaskan oleh harga minyak mentah yang lebih rendah.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,400 satu tan manakala rintangan pada RM4,600 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pengarang Urusan dan Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM susut bagi sesi kedua berturut-turut susulan aktiviti pengambilan untung berterusan serta jangkaan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang kurang memberangsangkan diumumkan pada minggu depan.

Beliau berkata unjuran itu akan membangkitkan aspek pengeluaran lebih tinggi selain peningkatan stok bagi bulan ketiga berturut-turut pada Jun.

Susulan itu juga, Fastmarkets menganggarkan pengeluaran meningkat 5.0 peratus hingga 8.0 peratus.

“Peserta pasaran dijangka menumpukan stok minyak sawit bagi akhir Jun yang diunjurkan meningkat 7.9 peratus bulan ke bulan kepada sekitar 2.62 juta tan.

“Ini merupakan kenaikan bulanan untuk bulan ketiga bulan berturut-turut dan paras inventori tertinggi sejak Januari 2026,” katanya.

Sewaktu ditutup, kontrak bulan semasa Julai 2026 turun RM6 kepada RM4,439 satu tan, Ogos 2026 susut RM20 kepada RM4,458 manakala September 2026 merosot RM26 kepada RM4,480 satu tan.

Selain itu, Oktober 2026, November 2026 dan Disember 2026 masing-masing susut RM27 kepada RM4,505, RM4,533 dan RM4,559 satu tan.

Jumlah dagangan melonjak kepada 71,942 lot daripada 60,311 lot semalam dan kepentingan terbuka meningkat kepada 289,382 kontrak daripada 288,316 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Selatan Julai turun RM10 kepada RM4,470 satu tan.

-- BERNAMA