03/07/2026 08:42 PM

Pekerja Terselamat Jatuh Dari Ketinggian 9 Meter Bangunan Kilang

IPOH, 3 Julai (Bernama) -- Seorang pekerja kilang terselamat selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter sebuah bangunan kilang simen di Kawasan Perindustrian Tasek, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.50 petang sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.

“Mangsa iaitu lelaki berusia 23 tahun mengalami kecederaan ringan dan terseliuh akibat terjatuh dari silo ke bumbung sebelum ke dalam bangunan kilang. 

“Ketua operasi dimaklumkan mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di atas silo kilang sebelum terjatuh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dan mengarahkan anggota bomba membawa mangsa turun dengan mendukung dan memapahnya ke ambulans. 

Mangsa kemudian diperiksa oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM manakala operasi tamat sepenuhnya pada 6.26 petang.

-- BERNAMA