Pasaran Getah Meningkat Semula Susulan Kenaikan Pasaran Niaga Hadapan Getah Serantau
Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur meningkat semula untuk ditutup tinggi pada Jumaat, didorong oleh peningkatan pasaran niaga hadapan getah serantau dalam keadaan kebimbangan terhadap potensi gangguan bekalan berikutan hujan lebat di Thailand dan amaran ribut tropika.
Beliau berkata sentimen pasaran turut dirangsang oleh kenaikan niaga hadapan getah Jepun pada Jumaat, disokong oleh peningkatan 24.4 peratus tahun ke tahun jualan kenderaan elektrik buatan China oleh Tesla pada Jun.
Menurutnya keadaan ini sekali gus menambah baik prospek permintaan tayar manakala harga lateks mentah yang kukuh di Thailand turut memberikan sokongan tambahan.
"Harga lateks mentah di Thailand selaku pengeluar getah terbesar dunia, mencatat purata 73.76 baht (US$2.23) sekilogram pada separuh pertama 2026, meningkat 16.54 peratus tahun ke tahun, menurut data Zhuochuang Information Rubber Industry Observation, sekali gus mewujudkan paras sokongan harga kepada pasaran getah asli," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata harga minyak mentah yang lebih kukuh serta jangkaan yang semakin meningkat bahawa Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mungkin mengamalkan dasar monetari yang kurang agresif turut merangsang sentimen pasaran.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent menokok 0.42 peratus kepada US$72.08 setong.
Bagaimanapun, menurutnya peningkatan selanjutnya dihadkan oleh pertumbuhan sektor perkhidmatan China yang lebih perlahan serta tempahan kilang yang berkurangan di AS, yang menjejaskan sentimen pasaran.
"Pertumbuhan pekerjaan di AS turut sederhana, dengan ekonomi negara itu mewujudkan 57,000 pekerjaan pada Jun, sekali gus memberikan isyarat momentum ekonomi yang perlahan dan menjejaskan sentimen pasaran," katanya.
Pada 3 petang hari ini, harga Standard Malaysia Rubber 20 (SMR 20) meningkat 12 sen kepada 872.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal kekal tidak berubah pada 746 sen sekilogram.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Individu Disenarai Hitam Antara 13 Warga Asing Ditahan Di Sempadan Kelantan
- Petugas AADK Maut Dilanggar Pemandu Disyaki Positif Dadah
- Inovasi Dalam Penjagaan Kesihatan Ibu Mesti Berteraskan Belas Ihsan - Wan Azizah
- Pekerja Terselamat Jatuh Dari Ketinggian 9 Meter Bangunan Kilang
- BUDI Diesel: Hampir 200,000 Dapat Manfaat Dalam Tempoh Tiga Hari Pelaksanaan