03/07/2026 07:29 PM

Tinggal Kerjaya Demi Minat, Kini Gubahan Pulut Kuning Jadi Buruan Pelanggan

Oleh Rohaiza Ab Rahman

PASIR PUTEH, 3 Julai (Bernama) -- Minat mendalam dalam bidang masakan mendorong bekas pegawai pemasaran sebuah pusat peranginan, Nortiny Nawi, 46, mengusahakan perniagaan gubahan pulut kuning yang kini mendapat sambutan menggalakkan.

Bermula secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Gong Cokoh di sini, empat tahun lepas, gubahan pulut kuning sentuhan beliau menjadi pilihan pelanggan untuk pelbagai majlis termasuk kesyukuran, sambutan hari lahir dan makan beradab.

Nortiny berkata minatnya terhadap bidang masakan mula berputik sejak remaja dan semakin berkembang selepas bekerja di sebuah pusat peranginan.

“Semasa bekerja di sebuah pusat peranginan, saya sering mengambil peluang melihat cef memasak di dapur. Dari situ minat saya terhadap bidang masakan semakin mendalam,” katanya.

Beliau berkata rutin hariannya bermula seawal 3 pagi untuk mengukus pulut sebelum diuli, disejukkan dan digubah mengikut tempahan pelanggan.

“Alhamdulillah, sekarang tempahan diterima hampir setiap hari. Harga bagi setiap gubahan pulut kuning antara RM100 hingga RM280 bergantung pada berat pulut dan tahap kerumitan rekaan yang diminta pelanggan,” katanya kepada Bernama pada Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) di Tok Bali di sini hari ini.

Pada festival itu, beliau muncul juara pertandingan gubahan pulut kuning menerusi hasil gubahan seberat lapan kilogram yang dihiasi ukiran bunga berbentuk bunga mawar, kemboja, bunga raya dan keris daripada lobak putih.

Nortiny berkata pelanggannya terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk sekolah dan jabatan kerajaan di seluruh Kelantan.

“Buat masa ini saya hanya mampu menyiapkan sehingga enam tempahan gubahan sehari kerana proses menghasilkan setiap gubahan mengambil masa yang agak lama, bergantung pada reka bentuk,” katanya.

Ibu kepada seorang anak itu berharap dapat memiliki premis yang lebih lengkap bagi mengembangkan perniagaannya pada masa hadapan.

-- BERNAMA