BUDI Diesel Bantu Peniaga Pasar Besar Larkin Imbangi Kos Operasi, Depani Cabaran Perniagaan
JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Golongan peniaga kecil di Pasar Besar Larkin di sini “bergelut” demi mengekalkan kelangsungan perniagaan kerana dihimpit kenaikan kos logistik, kebergantungan tinggi terhadap barangan import dan perubahan drastik landskap pembelian pengguna.
Bagaimanapun, pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada kadar subsidi RM2.10 seliter bermula 1 Julai lepas memberi kelegaan kepada para peniaga kecil apabila langkah proaktif kerajaan itu dilihat membantu menstabilkan kos logistik dan menyerap tekanan inflasi.
Peniaga kerepek dan makanan sejuk beku Hashim Dahlan, 59, yang beroperasi selama 27 tahun di pasar itu, mengakui inisiatif tersebut memberikan kelegaan buat komuniti peniaga meneruskan kelangsungan perniagaan.
“Subsidi diesel dengan petrol itu memang banyak membantu… bila minyak tak ganggu, benda-benda lain akan stabil,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Peniaga kelapa Shahrul Kamil Othman, 42, generasi kedua yang meneruskan perniagaan keluarga berusia lebih 30 tahun, pula berpendapat persaingan sengit susulan lambakan pasaran baharu menjadi antara punca kemerosotan jualan selain ketidaktentuan harga barangan mentah.
Bersyukur dengan BUDI Diesel, dia berkata peniaga memerlukan intervensi kerajaan dalam menstabilkan harga bahan mentah asas terutama bagi barangan yang diimport berikutan kekurangan bekalan tempatan berbanding bantuan kewangan secara sekali beri.
“Bantuan one-off hanya membantu untuk sementara tapi kalau bahan asas, untuk jangka panjang,” katanya yang mengimport kelapa dari negara jiran dengan kos lebih tinggi bagi menampung permintaan.
Bagi peniaga ikan, Azmi Abu Bakar, 53, trend pembelian pengguna kini beralih kepada perkhidmatan penghantaran terus ke rumah (bayar waktu terima - COD) dan kehadiran lori jualan langsung di luar kawasan pasar menjejaskan kedatangan pelanggan ke premis mereka.
Selain itu, katanya perubahan landskap perniagaan masa kini dan peningkatan kos logistik menyukarkan peniaga kecil untuk bersaing secara adil.
Sehubungan itu, inisiatif BUDI Diesel hadir sebagai instrumen sokongan bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli bahan api tersebut pada harga subsidi RM2.10 seliter berbanding harga pasaran RM3.97 seliter.
Sokongan logistik yang lebih stabil melalui subsidi bersasar ini membolehkan peniaga kecil di Pasar Besar Larkin mempunyai ruang lebih luas untuk mengimbangi kos operasi tanpa perlu membebankan pengguna dengan kenaikan harga mendadak.
-- BERNAMA
Berita terkini
- Johor Sentiasa Jadi Keutamaan Kerajaan Persekutuan - Ramanan
- PRN: Manifesto PH Idea Asli Pimpinan - Amirudin
- PRN Johor: MCMC Buka Pusat Aduan Komunikasi Dan Multimedia
- Pemindahan SJKT Ladang Sungai Muar Kini Dalam Proses Pemilikan Tanah - Yuneswaran
- Thailand Sampaikan Pampasan Kepada Rakyat Malaysia Cedera Dalam Letupan Bom Tak Bai