03/07/2026 08:47 PM

PRN Johor: Jati Awang Bawa Aspirasi Orang Asli, Semua Masyarakat Di Endau

​MERSING, 3 Julai (Bernama) -- Menjadi satu-satunya calon Orang Asli yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, Jati Awang tampil dengan misi mengangkat suara semua lapisan masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau tanpa mengira kaum.

Calon Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) berusia 52 tahun itu berkata pencalonannya bukan sekadar membawa aspirasi komuniti Orang Asli, sebaliknya turut merangkumi keperluan masyarakat setempat termasuk nelayan dan penduduk luar bandar di kawasan berkenaan.

“Kami (ASLI) mendekati pelbagai kaum antaranya di warung tanpa rasa kekok kerana bagi kami asalkan rakyat Malaysia akan bersama-sama bergerak memajukan negeri dan negara,” katanya kepada Bernama di Kampung Londang Batu di sini. 

Walaupun tampil kali pertama dalam gelanggang pilihan raya, Jati berkata sokongan akar umbi diterima memberi keyakinan kepadanya untuk memperjuangkan isu rakyat secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Mengakui pada awalnya berdepan rasa takut dan gugup, Jati daripada suku kaum Jakun bagaimanapun menganggap platform itu sebagai ruang terbaik untuk membawa suara rakyat Endau khususnya berkaitan tanah adat Orang Asli serta pembangunan infrastruktur asas.

Beliau berkata antara usaha yang akan diperjuangkan termasuk membela wilayah tanah adat Orang Asli serta isu Tanah Rizab Melayu secara adil dan saksama, di samping menyelesaikan masalah infrastruktur seperti air dan tanah yang dihadapi penduduk di Kampung Orang Asli Punan.

Meskipun berdepan saingan sengit daripada parti-parti besar, Pengerusi Tetap (Persidangan Pusat) ASLI itu berkata beliau memilih untuk mempertaruhkan pendekatan berintegriti sepanjang tempoh berkempen.

“Sekiranya tewas, saya tidak berasa kecewa kerana ini adalah permulaan, malah akan bekerja lebih keras dan perhebat lagi kempen,” kata bapa kepada lima anak itu. 

Sementara itu, Presiden ASLI Rashid Ka berkata penyertaan parti itu dalam PRN Johor ke-16 mencipta sejarah tersendiri sebagai penampilan pertama sejak penubuhannya pada 6 Dis 2022 dan merancang untuk melebarkan sayap ke negeri lain pada masa akan datang.

“​Setakat ini kita sudah mempunyai penyertaan di tujuh negeri dan akan datang ia akan menjadi lapan untuk bersama-sama membentuk kerajaan serta membina Malaysia berteraskan konsep perpaduan kaum,” katanya sambil menambah parti itu kini mempunyai lebih 33,000 ahli di seluruh negara.

DUN Endau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Jati, calon Perikatan Nasional (PN) Hasnul Hakimi Hussien, Saiful Nizam Samat daripada Pakatan Harapan (PH) dan Alwiyah Talib mewakili Barisan Nasional (BN).

PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.  

-- BERNAMA

 

N32: ENDAU - 28,767 pengundi

1. Hasnul Hakimi Hussien (PN-PAS)

2. Jati Awang (ASLI)

3. Saiful Nizam Samat (PH-PKR)

4. Alwiyah Talib (BN-UMNO)

(2022: Alwiyah Talib: PN-Bersatu: Maj: 3,041)