Polis Thailand Tahan Lelaki Bantu Siasatan Letupan Bom Tak Bai
NARATHIWAT, 3 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan oleh pihak berkuasa Thailand pada Rabu bagi membantu siasatan berhubung kejadian letupan bom yang mencederakan dua rakyat Malaysia pada 29 Jun lepas.
Ketua Polis Tak Bai, Kol. Polis Pakkawat Wansanuk berkata hasil siasatan dan pemeriksaan bahan bukti yang ditemukan di lokasi kejadian, suspek warga Thai itu ditahan di rumahnya di Kampung Sepom, Mukim Praiwan, Daerah Tak Bai pada kira-kira pukul 3 petang.
"Hasil pemeriksaan menemukan 10 jam tangan yang disembunyikan di dalam guni serta beberapa serpihan paip. Semua barangan berkenaan telah disita untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata suspek kini ditahan mengikut undang-undang tentera selama tempoh tidak melebihi 30 hari di Kem Renjer Kompeni 46, Narathiwat, bagi membantu siasatan selepas penemuan sejumlah jam tangan dan beberapa barangan lain yang mencurigakan di rumah berkenaan.
"Jika siasatan mendapati suspek tidak mempunyai kaitan dengan kejadian pengeboman itu, dia akan dibebaskan secepat mungkin," katanya.
Pada Isnin lepas, dua rakyat Malaysia cedera selepas sebuah peranti letupan buatan sendiri (IED) yang disembunyikan di dalam pembetung jalan meletup berhampiran persimpangan Sapom di Daerah Tak Bai pada kira-kira pukul 11.40 pagi waktu tempatan.
Pihak berkuasa Thailand berkata kedua-dua rakyat Malaysia itu bukan sasaran serangan, yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak.
Berikutan kejadian itu, pasukan keselamatan Thailand melancarkan siasatan menyeluruh, termasuk menjalankan operasi pelupusan bahan letupan dan pemeriksaan forensik di lokasi kejadian.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pasaran Getah Meningkat Semula Susulan Kenaikan Pasaran Niaga Hadapan Getah Serantau
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi, Disokong Permintaan Aset Selamat Berterusan
- Tinggal Kerjaya Demi Minat, Kini Gubahan Pulut Kuning Jadi Buruan Pelanggan
- BUDI Diesel Bantu Peniaga Pasar Besar Larkin Imbangi Kos Operasi, Depani Cabaran Perniagaan
- Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Dipacu Kenaikan Semula Saham Perbankan