Bursa Malaysia PLC Pertama Malaysia Catat Skor ESG Tertinggi FTSE4Good
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd muncul sebagai syarikat senaraian awam (PLC) pertama Malaysia yang berjaya meraih skor tertinggi 5.0 bagi rangka kerja penilaian dan metodologi indeks alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) FTSE4Good.
Pencapaian itu menyenaraikan Bursa Malaysia dalam kalangan kumpulan terpilih merangkumi lebih daripada 12,000 syarikat yang dinilai di peringkat global.
Menerusi kenyataan hari ini, bursa itu memaklumkan kejayaan itu dipacu oleh prestasi kukuhnya di bawah tema Perubahan Iklim dalam kriteria FTSE4Good.
“Kejayaan ini hasil daripada penambahbaikan pendedahan kemampanan Bursa Malaysia berkaitan ESG, terutama dalam pelaporan berkaitan iklim yang sejajar dengan piawaian diiktiraf antarabangsa seperti IFRS S2,” menurutnya.
Mengulas pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Fad’l Mohamed menyifatkan kemampuan mencatat skor tertinggi dalam penanda aras ESG yang diiktiraf global seperti penilaian FTSE4Good sebagai bukti kemajuan Bursa Malaysia dalam memperkukuh amalan serta pendedahan ESG.
“Ini merupakan satu piawaian yang Bursa Malaysia komited untuk terus kekalkan dan memperkukuh kepentingan pelaporan ESG dalam membantu pelabur memahami risiko, peluang dan pemacu usaha penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.
Penanda aras FTSE4Good yang diperkenalkan oleh FTSE Russell pada 2001 merupakan antara pengukur ESG paling lama serta diiktiraf di peringkat dunia.
Antara peranannya adalah sebagai titik rujukan penting bagi pelabur institusi mengenal pasti syarikat dengan amalan ESG yang kukuh sambil menggalakkan penambahbaikan berterusan dari segi prestasi kemampanan serta pendedahan yang berkaitan dengan aspek berkenaan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Pasaran Getah Meningkat Semula Susulan Kenaikan Pasaran Niaga Hadapan Getah Serantau
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi, Disokong Permintaan Aset Selamat Berterusan
- Tinggal Kerjaya Demi Minat, Kini Gubahan Pulut Kuning Jadi Buruan Pelanggan
- BUDI Diesel Bantu Peniaga Pasar Besar Larkin Imbangi Kos Operasi, Depani Cabaran Perniagaan
- Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Dipacu Kenaikan Semula Saham Perbankan