BAJC: Gandingan Muda Negara Ke Separuh Akhir Beregu Wanita, Beregu Campuran
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Gandingan muda negara Genevie Lim-Low Zi Yu mengesahkan slot ke separuh akhir acara beregu wanita Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) selepas menewaskan gandingan China Shi Si Chen-Xiang Yu Jin di Yatsushiro, Jepun, hari ini.
Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Yatsushiro City General Gymnasium, Genevie-Zi Yu tampil cemerlang apabila menundukkan pasangan lawan straight set 21-12, 21-16 dalam tempoh 41 minit.
Kemenangan itu menyaksikan mereka bakal berdepan cabaran getir pada separuh akhir esok apabila dijadual menentang pasangan pilihan kedua kejohanan dari Jepun, Aoi Banno-Yuzu Ueno.
Zi Yu turut mara ke separuh akhir acara beregu campuran selepas bergandingan dengan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal Ahmad bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan wakil Indonesia, Moses Andar Simanjuntak-Reya Azzahra Yulianti, 19-21, 21-15, 21-9 dalam aksi suku akhir hari ini.
Pasangan pilihan kedua itu dijadual berdepan wakil Taiwan, Lin Sheng Ming-Sun Liang Ching bagi merebut tiket ke pentas final yang berlangsung Ahad ini.
Bagaimanapun, cabaran perseorangan lelaki negara berakhir di peringkat suku akhir apabila Kong Wei Xiang dan Tiew Wei Jie masing-masing tersingkir.
Wei Xiang tewas 19-21, 20-22 kepada wakil Indonesia, Fardhan Rainanda Joe, manakala Wei Jie terpaksa akur selepas memberi tentangan sengit sebelum tunduk 21-16, 19-21, 21-23 kepada pemain China, Hong Tian Yue.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Individu Disenarai Hitam Antara 13 Warga Asing Ditahan Di Sempadan Kelantan
- Petugas AADK Maut Dilanggar Pemandu Disyaki Positif Dadah
- Inovasi Dalam Penjagaan Kesihatan Ibu Mesti Berteraskan Belas Ihsan - Wan Azizah
- Pekerja Terselamat Jatuh Dari Ketinggian 9 Meter Bangunan Kilang
- BUDI Diesel: Hampir 200,000 Dapat Manfaat Dalam Tempoh Tiga Hari Pelaksanaan