Projek Pembesaran LTAPP Tunjuk Perkembangan Positif, Dijangka Siap 2028 - Exco
GEORGE TOWN, 3 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) berjalan mengikut perancangan dengan beberapa pakej utama mencatat kemajuan memberangsangkan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2028.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata setakat ini, Pakej Kerja Pertama (WP01) melibatkan pembinaan bangunan sokongan, pemindahan utiliti, penyediaan infrastruktur serta Remote Digital Virtual Tower (RDVT) telah mencapai kemajuan 100 peratus.
Beliau berkata Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi keseluruhan pakej itu telah diperoleh pada 1 Julai lepas.
“Pakej Kerja Kedua (WP02) yang melibatkan kerja-kerja di kawasan operasi udara seperti pembesaran apron pesawat, pembinaan laluan pesawat (taxilane), sistem saliran dan pencahayaan lapangan terbang pula telah mencapai kira-kira 70 peratus kemajuan.
“Bagi Pakej Kerja Ketiga (WP03) yang merangkumi pembesaran bangunan terminal utama pula, peringkat reka bentuk telah selesai, manakala fasa perolehan dibuka pada 25 Jun lepas,” katanya dalam kenyataan selepas melawat projek berkenaan hari ini.
Zairil berkata projek pembesaran LTAPP adalah antara inisiatif strategik Kerajaan Persekutuan yang akan meningkatkan kapasiti lapangan terbang itu daripada 6.5 juta penumpang kepada 12 juta penumpang setahun.
Beliau berkata peningkatan kapasiti itu penting bagi memenuhi pertumbuhan trafik penumpang, memperkukuh hubungan udara domestik dan antarabangsa serta menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Projek itu juga, katanya, dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan, perdagangan, pelaburan dan logistik, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab ekonomi utama di Wilayah Utara.
Beliau berkata kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan, pengendali lapangan terbang serta semua agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan dengan lancar, di samping meminimumkan gangguan kepada operasi lapangan terbang dan menjamin keselesaan pengguna sepanjang tempoh pembinaan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- SC Pelawa Input Awam Mengenai Cadangan Perkukuh Ekosistem Tadbir Urus Korporat
- Bursa Malaysia PLC Pertama Malaysia Catat Skor ESG Tertinggi FTSE4Good
- KKM Rombak Sistem Penarafan Triaj Hospital Awam, Perkukuh Penilaian Pesakit Kecemasan
- BAJC: Gandingan Muda Negara Ke Separuh Akhir Beregu Wanita, Beregu Campuran
- Lambakan Durian: Pengusaha Perlu Kreatif Hasil Produk Nilai Tambah - Exco