03/07/2026 03:52 PM

Malaysia Kekal Pendirian Terhadap Jho Low, Tidak Terpengaruh Keputusan AS - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Malaysia kekal dengan pendirian bersandarkan proses perundangan terhadap Low Taek Jho atau Jho Low, walaupun terdapat laporan berkemungkinan ahli perniagaan dalam buruan itu menerima pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, esok.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang keputusan oleh AS berhubung perkara itu adalah urusan negara berkenaan, namun pendirian Malaysia tidak akan terjejas.

“Pendirian Malaysia jelas, kita ikut jalur hukum. Itu soal keputusan negara Amerika Syarikat, urusan mereka. Tapi pendirian kita tidak terpengaruh, terganggu atau tergugat oleh keputusan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena di sini hari ini.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Jho Low adalah antara kira-kira 250 individu yang  dipertimbangkan untuk menerima pengampunan Trump sempena sambutan ulang tahun ke-250 Hari Kemerdekaan negara itu, esok.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata beliau mengambil maklum berhubung penyaluran dana RM1 juta daripada AS untuk projek restorasi Tugu Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-70 pada tahun depan.

Perdana Menteri berkata perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu hadapan.

-- BERNAMA