Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau Tunai Solat Jumaat Bersama Masyarakat
SEREMBAN, 3 Julai (Bernama) -- Undang Luak Sungei Ujong Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari dan Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid menunaikan solat Jumaat di luak kawasan masing-masing hari ini.
Ketibaan dua pembesar Negeri Sembilan yang baharu dizahirkan itu, masing-masing di Masjid Kariah Pantai dan di Masjid Kariah Seberang Paya Rembau kira-kira 1 tengah hari tadi.
Muhammad Faris dizahirkan sebagai Undang Sungei Ujong ke-11 dan Hassan sebagai Undang Luak Rembau ke-22 pada Sabtu lepas, di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Buat kali pertama, nama pembesar Negeri Sembilan itu dibacakan dalam doa di masjid luak masing-masing, bersekali dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Terdahulu, Imam Masjid Kariah Pantai, Amru Zubair Abu Hanifah dan Imam Khairul Ashraf Mohd Kudus, masing-masing menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk “Muflis Akhirat”.
Selesai menunaikan solat Jumaat, Muhammad Faris beramah mesra dengan para jemaah sebelum menyantuni keluarga penduduk kampung tersebut yang kehilangan insan tersayang dengan menunaikan solat jenazah bersama jemaah di masjid berkenaan.
Dalam pada itu, di Masjid Kariah Seberang Paya Rembau, Hassan diiringi Datuk-Datuk Lembaga Luak Rembau dan Buapak Delapan Kampung Waris Biduanda Nan Dua Carak disambut penduduk setempat.
Seusai menunaikan solat Jumaat beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk makan tengah hari bersama kariah dan ahli jawatankuasa masjid sempena jamuan meraikan kedatangan Undang Rembau yang menunaikan solat Jumaat pertama selepas dizahirkan sebagai Undang Luak Rembau ke-22.
-- BERNAMA
Berita terkini
- SC Pelawa Input Awam Mengenai Cadangan Perkukuh Ekosistem Tadbir Urus Korporat
- Bursa Malaysia PLC Pertama Malaysia Catat Skor ESG Tertinggi FTSE4Good
- KKM Rombak Sistem Penarafan Triaj Hospital Awam, Perkukuh Penilaian Pesakit Kecemasan
- BAJC: Gandingan Muda Negara Ke Separuh Akhir Beregu Wanita, Beregu Campuran
- Lambakan Durian: Pengusaha Perlu Kreatif Hasil Produk Nilai Tambah - Exco