03/07/2026 03:07 PM

Lambakan Durian: Pengusaha Varieti Premium Di Perak Tidak Terjejas

KUALA KANGSAR, 3 Julai (Bernama) -- Walaupun harga durian varieti premium dilaporkan menurun kira-kira 30 peratus susulan lambakan hasil di pasaran pada ketika ini, keadaan itu tidak memberikan kesan besar kepada para pengusaha tanaman berkenaan di Perak.

Wakil Komuniti Pekebun Durian Perak Mohamad Kamal Noh Safiee berkata situasi berkenaan merupakan fenomena biasa dalam industri durian yang dipengaruhi oleh faktor penawaran dan permintaan semasa.

“Buat masa ini, harga Musang King jatuh kira-kira RM20 sekilogram berbanding sebelum ini yang boleh mencecah RM30 hingga RM35 sekilogram.

“Walaupun berlaku penyusutan harga pada musim ini, perlu difahami varieti premium seperti Musang King, Duri Hitam dan D24 boleh mengeluarkan hasil tiga hingga empat kali setahun, sekali gus membantu menampung kesan penurunan harga yang berlaku pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Ramah Mesra Komuniti Durian Bersama Media Perak di Dango Cakcibor, di sini hari ini.

Mohamad Kamal berkata buat masa ini, kesan penurunan harga berkenaan lebih menjejaskan pengusaha yang menjual durian kampung ekoran lambakan hasil yang begitu ketara berbanding varieti premium.

“Durian kampung lebih terjejas kerana lebih banyak ditanam dan dijual secara meluas oleh para pengusaha, sekali gus menyebabkan lambakan yang begitu ketara terhadap varieti ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata isu lambakan buah durian perlu diberi perhatian dari sudut pengurusan rantaian pemasaran bagi memastikan lebihan bekalan dapat disalurkan secara lebih tersusun, termasuk ke sektor pemprosesan dan industri hiliran.

Pada 29 Jun lepas, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan bahawa agensi tersebut giat melaksanakan Pelan Pemasaran dan Intervensi Buah-Buahan Bermusim 2026 bagi memastikan pengeluaran durian dipasarkan secara terancang selain mengurangkan lambakan hasil sepanjang musim puncak pengeluaran dari Jun hingga Ogos ini.

Sementara itu, komuniti pekebun durian di negeri ini mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan buah durian diiktiraf sebagai buah kebangsaan susulan kedudukannya yang amat signifikan dalam sejarah, budaya, biodiversiti serta pembangunan industri agromakanan negara.

Mohamad Kamal berkata durian mempunyai nilai yang besar dalam membentuk identiti sesebuah negara kerana dekat di hati rakyat yang sentiasa menantikan musim raja buah itu tiba, selain memainkan peranan dalam diplomasi antarabangsa.

"Bagaimanapun, cadangan ini bukanlah menidakkan keistimewaan dan sumbangan komoditi buah tempatan yang lain seperti betik, nanas, mangga, pisang dan ciku … semuah buah ada nilai masing-masing, namun bagi cadangan buah kebangsaan, kami berpandangan durian mempunyai asas yang lebih menyeluruh dari segenap sudut," katanya.

-- BERNAMA