03/07/2026 02:51 PM

Ops Suling: JKDM Tumpas Sindiket Proses Arak, Penyeludupan Tembakau Kunyah 

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), menumpaskan sindiket pemprosesan dan pembotolan minuman keras haram serta penyeludupan tembakau kunyah bernilai RM2.57 juta dalam operasi khas Ops Suling, baru-baru ini.

Noraidah Ishak yang menjalankan tugas-tugas Pengarah JKDM WPKL berkata operasi yang dijalankan dari 11 hingga 23 Mei itu, berjaya membongkar kegiatan itu menerusi dua serbuan selain menahan sebuah kontena yang membawa produk tembakau tidak berkastam.

Beliau berkata dalam serbuan pertama pada 20 Mei, pasukan operasi menyerbu dua gudang di Jalan Wangsa Utama, Taman Wangsa Permai di sini dan merampas 4,987 liter minuman keras jenis wiski, yang ditampal setem cukai palsu.

“Pasukan turut menemukan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dan membotolkan minuman keras, termasuk tong berisi bancuhan kimia disyaki etanol, gulungan setem cukai kastam palsu, peralatan pembungkusan, mesin pemasang penutup botol serta pelekat label tiruan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noraidah berkata nilai rampasan dianggarkan RM278,531 dengan duti serta cukai berjumlah RM672,669, menjadikan nilai keseluruhan RM951,200, manakala dua lelaki warga asing ditahan dan direman bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau berkata sindiket dipercayai menjadikan gudang yang terletak di kawasan tersorok dan jauh daripada penempatan penduduk, sebagai lokasi menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembotolan minuman keras palsu.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976,” katanya.

Bagi kes kedua pada 14 Mei, Noraidah berkata pihaknya menahan sebuah kontena 20 kaki yang diimport dari sebuah negara Asia Selatan di sini, pada 9 malam.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan 5,449 kilogram produk tembakau kunyah disyaki tidak berkastam, yang nilai rampasan dianggarkan RM944,944, manakala duti dan cukai sebanyak RM677,551.

“Jumlah keseluruhan rampasan bagi kes ini dianggarkan RM1,622,495. Modus operandi sindiket ialah membawa masuk barang larangan melalui kontena tanpa lesen import yang sah,” katanya.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana disyaki mengimport barang larangan tanpa lesen import yang sah.

Sehubungan itu, JKDM menggesa orang ramai membantu memerangi kegiatan penyeludupan, dengan menyalurkan maklumat menerusi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat berhampiran, dengan jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan.

-- BERNAMA