PRN Johor: Jentera BN Perlu Perkukuh Kempen Digital, Media Sosial - Calon DUN Mahkota
Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
KLUANG, 3 Julai (Bernama) -- Parti politik perlu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap politik pada era digital dan letusan platform media sosial, kerana kegagalan berubah boleh menyebabkan mereka ketinggalan serta menjadi “parti dinosaur”, kata calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah.
Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota itu berkata landskap politik dan kaedah berkempen kini jauh berbeza, berbanding sebelum ini yang lebih tertumpu kepada kempen secara bersemuka seperti kunjungan di rumah dan pertemuan mesra masyarakat di warung, surau serta masjid.
“Hari ini kita sudah mempunyai landskap politik digital. Di situlah kelangsungan parti naik dan turun, di situlah persepsi terhadap seseorang pemimpin dibentuk dan di situlah tersebarnya pelbagai maklumat sama ada benar atau fitnah.
“Mana-mana parti politik yang tidak dapat mengadaptasi diri dalam dunia digital ini, akan dianggap sebagai parti dinosaur, iaitu parti yang tidak boleh menerima perubahan zaman,” katanya kepada Bernama pada hari ketujuh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, dengan menyantuni penduduk di sekitar Kampung Tengah, di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Syed Hussien menggesa anggota jentera BN lebih aktif menggunakan media sosial, bagi menyebarkan maklumat mengenai pencapaian kerajaan negeri dan parti, selain berkongsi dasar serta inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat.
Beliau berkata media sosial membolehkan sesuatu maklumat tersebar dengan pantas merentasi negeri, sekali gus menjadikannya platform penting dalam membentuk persepsi pengundi.
Namun, beliau pada masa yang sama mengingatkan anggota jentera kempen BN pada PRN Johor, supaya tidak menggunakan media sosial untuk menyerang atau menghina pihak lawan, sebaliknya menampilkan rekod pencapaian dan perkhidmatan BN.
“Politik kutuk-mengutuk dan hina-menghina sudah tidak laku lagi. Rakyat semakin bijak menilai. Kita cerita apa yang telah BN lakukan,” katanya.
Beliau berkata masyarakat di Kluang secara umumnya berpuas hati dengan kualiti kehidupan, namun mengakui masih terdapat permintaan terhadap peluang pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih tinggi.
Syed Hussien berkata soal gaji perlu dilihat mengikut kos sara hidup di sesuatu kawasan dan bukan dibandingkan secara langsung dengan bandar raya seperti Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Syed Hussein berkata industri kopi yang menjadi identiti Kluang, mempunyai potensi besar untuk merangsang ekonomi setempat apabila digabungkan dengan produk ekopelancongan dan pelancongan desa.
Beliau berkata kopitiam tradisional, Gunung Lambak yang merupakan destinasi pendakian popular dan ladang pertanian moden, UK Farm Agro Resort berjaya menarik pelancong tempatan serta luar negara, khususnya Singapura dan China, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha kopi, peniaga kecil dan sektor pelancongan daerah.
Syed Hussien berhadapan persaingan tiga penjuru pada PRN kali ini, apabila dicabar calon Pakatan Harapan (PH) Dr Ahmad Zuhan Md Zain dan calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Abd Hamid Ali.
Pada Pilihan Raya Kecil yang diadakan Sept 2024, beliau menang besar apabila memperoleh 27,995 undi dengan majoriti 20,648 undi menewaskan calon Perikatan Nasional, sekali gus mengekalkan penguasaan BN di DUN tersebut.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
N29: MAHKOTA: 67,562 pengundi
1. Abd Hamid Ali (Bersama)
2. Syed Hussien Syed Abdullah (BN-UMNO)
3. Dr Ahmad Zuhan Md Zain (PH-Amanah)
(2022: Datuk Sharifah Azizah Syed Zain: BN-UMNO: Maj: 5,166)
(2024: PRK: Syed Hussien Syed Abdullah: BN-UMNO: Maj: 20,648)
Kata kunci
Berita terkini
- 37,880 Kenderaan Di Sarawak Layak Mohon SKDS
- Tiga Pengiktirafan Jadi Pembakar Semangat KKR Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan
- SC Pelawa Input Awam Mengenai Cadangan Perkukuh Ekosistem Tadbir Urus Korporat
- Polis Thailand Tahan Lelaki Bantu Siasatan Letupan Bom Tak Bai
- Bursa Malaysia PLC Pertama Malaysia Catat Skor ESG Tertinggi FTSE4Good