Lima Warden Penjara Taiping Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Tiga Banduan
TAIPING, 3 Julai (Bernama) -- Lima pegawai penjara dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan tiga banduan di Penjara Taiping dalam kejadian berasingan pada Januari tahun lepas.
Mohd Hairie Jumri, 40, Saiful Azman Mohamad Ibrahim, 44, Ahmad Rizal Razali, 37, Muhamad Mustakhim Abdul Rahim, 40, dan Nor Hafiz Izwan Muhammad Jajam, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Prabakaran dan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Di hadapan Prabakaran, Mohd Hairie dan Saiful Azman didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap P. Jason Immanuel, 25, dengan menggunakan cota di Dewan B, Penjara Taiping, Jalan Taming Sari di sini, antara 3 petang hingga 4 petang, 17 Jan 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Farihah Adilah Fazial menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan dua penjamin, selain syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa.
Peguam Aqmarul Aqil Ismail yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan rendah atas alasan Mohd Hairie yang bertugas sebagai Inspektor Penjara dan Saiful Azman sebagai Sarjan Penjara masing-masing menanggung empat anak yang masih bersekolah serta berpendapatan RM4,000 sebulan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 setiap seorang dengan dua penjamin serta diperintah melapor diri di balai polis berdekatan pada 1 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai, selain menetapkan 7 Sept untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sementara itu, Ahmad Rizal pula didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap V. Naveen Kumar, 32, di lokasi sama antara 3 petang hingga 4.15 petang, pada tarikh yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Farihah Adilah menawarkan jaminan RM10,000, manakala Aqmarul Aqil merayu jaminan rendah memandangkan anak guamnya itu mempunyai tiga anak dan berpendapatan RM4,000 sebulan.
Selain itu, Aqmarul Aqil memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Rizal, yang kini bertugas sebagai Inspektor Penjara di Pusat Koreksional Kamunting, sedang menerima rawatan berkala di Hospital Taiping bagi penyakit Major Depressive Disorder with Anxious Distress.
Prabakaran kemudiannya menetapkan jaminan RM3,000 dengan dua penjamin serta tarikh 7 Sept untuk serahan dokumen.
Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Ahmad Hamdi, Muhamad Mustakhim dan Nor Hafiz Izwan didakwa bersama-sama dengan sengaja mencederakan G. Yugarajan, 30, di lokasi dan tarikh sama antara 3 petang hingga 4 petang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Nazura Azman menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.
Peguam Amirul Fairuzzeen Jamaluddin dan Mohd Aidil Arsad yang mewakili Muhamad Mustakhim merayu jaminan RM2,000 kerana tertuduh menanggung isteri, tiga anak dan bapa yang uzur, manakala Aqmarul Aqil yang mewakili Nor Hafiz Izwan memohon jaminan serupa atas alasan tertuduh menanggung dua anak dengan pendapatan RM2,900 sebulan.
Ahmad Hamdi kemudian menetapkan wang jaminan RM2,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin, selain tarikh 8 Sept untuk serahan dokumen.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- 37,880 Kenderaan Di Sarawak Layak Mohon SKDS
- Tiga Pengiktirafan Jadi Pembakar Semangat KKR Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan
- SC Pelawa Input Awam Mengenai Cadangan Perkukuh Ekosistem Tadbir Urus Korporat
- Polis Thailand Tahan Lelaki Bantu Siasatan Letupan Bom Tak Bai
- Bursa Malaysia PLC Pertama Malaysia Catat Skor ESG Tertinggi FTSE4Good