03/07/2026 02:21 PM

Bursa Malaysia Terus Meningkat Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan kenaikan pada tengah hari, menjejaki peningkatan dalam kebanyakan pasaran serantau berikutan minat belian yang berterusan terhadap saham wajaran tinggi yang terus menyokong pasaran.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 14.31 mata atau 0.86 peratus kepada 1,676.14 daripada 1,661.83 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka meningkat 3.90 mata kepada 1,665.73 dan diniagakan antara 1,662.91 dan 1,677.65 sepanjang sesi dagangan.

Sentimen pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 499 berbanding 368 manakala 475 kaunter tidak berubah, 1,308 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 1.67 bilion saham bernilai RM899.83 juta.

Di peringkat serantau, Indeks Komposit SSE Shanghai meningkat 0.69 peratus kepada 4,056.78, Nikkei 225 Jepun naik 1.28 peratus kepada 69,614.16, Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan melonjak 4.56 peratus kepada 7,996.82 manakala Indeks Straits Times Singapura menokok 0.36 peratus kepada 5,235.90.

Menurut Apex Securities Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, pertumbuhan guna tenaga di Amerika Syarikat (AS) yang lebih perlahan berbanding jangkaan telah mengubah semula unjuran dasar monetari dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya keadaan ini mengurangkan tekanan ke arah kenaikan kadar faedah AS dalam masa terdekat serta memberi ruang kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun untuk mengukuh, dengan ringgit meningkat 0.33 peratus berbanding dolar AS walaupun pelaburan asing dalam ekuiti masih mencatat aliran keluar. 

Menurutnya sektor perbankan dijangka terus menjadi tumpuan pelabur berikutan risiko kenaikan kadar faedah di AS yang semakin berkurangan serta pengukuhan ringgit yang memberi kelebihan kepada sektor itu.

Pada masa sama, prestasi sektor perbankan dilihat penting memandangkan pemulihan indeks pasaran pada masa ini banyak bergantung kepada sektor berkenaan.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 12 sen kepada RM10.86, CIMB menambah 10 sen kepada RM7.55, Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM14.30, dan Public Bank menokok satu sen kepada RM4.85 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.17.

Bagi saham aktif, Velesto meningkat 2.5 sen kepada 29 sen, Eckem Holdings naik setengah sen kepada 12.5 sen, Zetrix AI menokok 1.5 sen kepada 79.5 sen, Silver Ridge menambah empat sen kepada 21 sen manakala Tanco tidak berubah pada 17.5 sen.

Kaunter paling untung menyaksikan Binastra meningkat lapan sen kepada RM2.14, F&N melonjak 68 sen kepada RM28.78, KL Kepong menambah 52 sen kepada RM21.48, Dutch Lady melonjak 24 sen kepada RM32.30 dan PPB menambah 16 sen kepada RM9.49.

Bagi kaunter paling rugi, Nestle susut 92 sen kepada RM91.08, Malaysian Pacific Industries menyusut 32 sen kepada RM47.74, United Plantations rendah 22 sen kepada RM33.26, Far East berkurangan sembilan sen kepada RM3.81 dan Gas Malaysia rendah tujuh sen kepada RM5.13.

Di pasaran lebih luas, Indeks FBM Emas meningkat 88.01 mata kepada 12,438.68, Indeks FBM Top 100 naik 87.02 mata kepada 12,266.65 dan Indeks FBM Emas Shariah mengukuh 79.25 mata kepada 12,284.30.

Indeks FBM Mid 70 menambah 51.26 mata kepada 17,835.95 manakala Indeks FBM ACE menokok 12.65 mata kepada 4,866.10.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 150.10 mata kepada 19,776.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 2.60 mata kepada 182.05 dan Indeks Tenaga menokok 7.70 mata kepada 757.36 manakala Indeks Perladangan naik 51.10 mata kepada 8,939.51.

-- BERNAMA