China Kuat Kuasa Peraturan Baharu Mengenai Pelaburan Ke Luar Negara
BEIJING, 3 Julai (Bernama-CMG) -- Peraturan baharu mengenai pelaburan ke luar negara dikuatkuasakan di China pada 1 Julai 2026.
Sebagai peraturan pentadbiran pertama dalam bidang pelaburan ke luar negara, ia bukan sahaja bertujuan menjamin keselamatan serta hak dan kepentingan sah pelabur, malah menyediakan jaminan perundangan kepada syarikat China untuk menyertai kerjasama dan persaingan di peringkat antarabangsa.
Peraturan itu juga berperanan menjamin keselamatan dan kepentingan pembangunan negara secara berkesan.
Pada masa ini, China telah menubuhkan lebih 50,000 syarikat di lebih 190 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Sementara itu, jumlah pelaburan China di luar negara kekal berada dalam kelompok tiga teratas dunia selama sembilan tahun berturut-turut.
Penyelidik Institut Perdagangan Antarabangsa dan Kerjasama Ekonomi di bawah Kementerian Perdagangan China, Zhou Mi berkata perdagangan antarabangsa mempunyai peraturan seperti yang ditetapkan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), namun belum ada peraturan pelaburan yang diterima pakai secara meluas di peringkat antarabangsa.
“Ada syarikat berdepan pelbagai masalah, termasuk berkaitan prinsip tanpa diskriminasi.
“Layanan sama rata sepatutnya diberikan kepada syarikat tempatan dan asing, dan China sudah melaksanakannya,” katanya.
Bagaimanapun, Zhou berkata sesetengah negara masih mengenakan layanan bersifat diskriminasi terhadap syarikat China termasuk prosedur semakan yang lebih ketat, sekali gus menghalang pelaburan syarikat China di negara berkenaan.
“Peraturan baharu yang dikuatkuasakan di China menyenaraikan dengan jelas langkah-langkah yang boleh diambil oleh negara itu.
“Apabila berdepan masalah, kerajaan akan membantu syarikat mendapatkan keadilan,” kata Zhou.
Beliau juga berkata, peraturan itu turut memberi jaminan kepada syarikat domestik untuk terus mengakses rantaian bekalan dalam negeri ketika melabur di luar negara, yang dianggap sebagai faktor penting kepada kejayaan pelaburan mereka.
-- BERNAMA-CMG
Kata kunci
Berita terkini
- SC Pelawa Input Awam Mengenai Cadangan Perkukuh Ekosistem Tadbir Urus Korporat
- Bursa Malaysia PLC Pertama Malaysia Catat Skor ESG Tertinggi FTSE4Good
- KKM Rombak Sistem Penarafan Triaj Hospital Awam, Perkukuh Penilaian Pesakit Kecemasan
- BAJC: Gandingan Muda Negara Ke Separuh Akhir Beregu Wanita, Beregu Campuran
- Lambakan Durian: Pengusaha Perlu Kreatif Hasil Produk Nilai Tambah - Exco