03/07/2026 01:38 PM

Elsa Energy Raih Kontrak Pemeriksaan Struktur Bawah Laut Guna AUV

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Elsa Bhd, Elsa Energy Sdn Bhd, telah menerima surat lantikan daripada sebuah syarikat penerokaan dan pengeluaran utama bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan struktur bawah laut menggunakan kenderaan bawah air autonomi (AUV) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Dalam kenyataan hari ini, penyedia penyelesaian perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas bersepadu itu memaklumkan kontrak berkenaan mempunyai nilai pesanan tetap bagi pelaksanaan pemeriksaan AUV yang dijadualkan bermula pada suku ketiga 2026.

Kontrak tersebut turut membuka peluang kepada perolehan kerja tambahan sepanjang tempoh perjanjian.

Tempoh kontrak adalah dari 19 Jun 2026 hingga 18 Jun 2027, dengan opsyen lanjutan selama satu tahun.

Pengarah Urusan Elsa Daniel Ilham Khong berkata kontrak itu mencerminkan peningkatan penggunaan teknologi pemeriksaan bawah air autonomi dalam industri minyak dan gas luar pesisir Malaysia.

“Ini merupakan antara penggunaan AUV yang pertama seumpamanya bagi pemeriksaan struktur platform luar pesisir menegak di Malaysia.

“Berbeza dengan pemeriksaan saluran paip, aplikasi ini memerlukan kategori teknologi autonomi yang berbeza untuk menavigasi struktur menegak yang kompleks,” katanya.

Di bawah skop kerja, Elsa Energy akan mengoperasikan sistem AUV bagi menjalankan pemeriksaan autonomi ke atas struktur platform luar pesisir.

Mandat operasi itu merangkumi penyediaan sistem AUV, pemeriksaan bawah air di platform, pengumpulan data secara menyeluruh serta analisis data.

Menurut kenyataan itu, terdapat lebih 12,000 kilometer saluran paip dan lebih 400 platform luar pesisir yang beroperasi di perairan Malaysia, yang memerlukan pemeriksaan integriti struktur secara berkala bagi memastikan keselamatan operasi serta kebolehpercayaan pengeluaran.

-- BERNAMA