Bulan Muzik Bandaraya Ipoh Angkat Muzik Sebagai Identiti Bandar
IPOH, 2 Jun (Bernama) -- Bulan Muzik Bandaraya Ipoh yang berlangsung selama kira-kira sebulan bermula semalam bukan sekadar dipenuhi persembahan namun ia adalah satu gerakan untuk menjadikan muzik sebagai identiti bandaraya ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata sepanjang bulan ini, pelbagai aktiviti telah dan akan diadakan seperti Harmony Music Cup, Larian Santai Muzik, Jom Menyanyi Bersama, Muzik di Setiap Sudut Bandar serta Perak On Beat.
"Kita mahu seluruh bandar turut sama merasai denyut nadi muzik kerana bandar yang hebat bukan hanya mempunyai bangunan yang cantik tetapi juga dipenuhi dengan senyuman, kreativiti dan kehidupan.
"Saya yakin suatu hari nanti apabila orang menyebut Ipoh, mereka bukan sahaja mengingati kopi putih, tauge ayam, makanan yang lazat atau warisan sejarahnya," katanya ketika merasmikan majlis penyampaian hadiah Pertandingan Muzik Antarabangsa ke-3 Harmony Music Cup dan pelancaran Bulan Muzik Bandaraya Ipoh 2026 di sini hari ini.
Kira-kira 3,000 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran Pertubuhan Kebudayaan dan Orkestra Cina Ipoh Perak itu yang terdiri daripada lebih 100 pasukan termasuk dari Taiwan serta China.
Dalam pada itu, Loh berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk menyokong penganjuran program sempena Bulan Muzik Bandaraya Ipoh manakala kerajaan negeri memperuntukkan RM50,000 bagi tujuan sama.
"Semoga peruntukan ini menjadi pemangkin semangat untuk pihak penganjur terus membawa nama Ipoh ke tahap lebih tinggi sehingga menjadi antara acara muzik antarabangsa yang paling dinanti-nantikan di Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Polis Kesan Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh Warga Asing
- Somnath Ghosh Dilantik Pesuruhjaya Tinggi Baharu India Ke Malaysia
- Pengukuhan Ringgit Dorong Eksport Malaysia Lebih Kompetitif Di Pasaran Luar Negara - MITI
- Penemuan Mayat Bekas Banduan Diklasifikasi Kes Mati Mengejut - Polis
- AS Sumbang RM1 Juta Bagi Projek Restorasi Tugu Negara