Tiga Gajah Malaysia Di Jepun Rekod Peningkatan Berat Badan - MPT
IPOH, 2 Julai (Bernama) -- Tiga ekor gajah Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang ditempatkan di Zoo Tennoji, Osak, Jepun terus menunjukkan perkembangan positif apabila masing-masing merekodkan peningkatan berat badan selain berada dalam keadaan sihat dan aktif.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Mohamed Akmal Dahalan berkata laporan terkini yang diterima daripada Zoo Tennoji memaklumkan berat Kelat meningkat 260 kilogram, manakala berat Dara dan Amoi masing-masing bertambah 35 kilogram serta 30 kilogram berbanding sebelum ini.
“MPT juga ingin menjelaskan bahawa diet harian gajah di Zoo Tennoji adalah lengkap dan seimbang serta disediakan mengikut keperluan nutrisi spesies oleh pasukan penjaga haiwan dan dipantau oleh pegawai veterinar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamed Akmal berkata makanan yang diberikan terdiri daripada pelbagai jenis rumput kering berkualiti sebagai sumber serat utama, di samping pucuk buluh, rumput segar, kubis, pelbagai jenis pelet yang diformulasikan khusus untuk gajah.
Beliau berkata pihaknya akan terus melakukan pemantauan dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia bagi memastikan kebajikan, kesihatan serta pengurusan gajah sentiasa berada pada tahap terbaik.
“MPT juga sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa dalam sebarang semakan, siasatan atau permintaan maklumat berkaitan program ini sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata MPT menghormati hak masyarakat untuk menyuarakan pandangan serta kebimbangan berhubung kebajikan haiwan berkenaan namun sebarang dakwaan perlu bersandarkan kepada fakta, maklumat yang sahih serta penilaian profesional.
Mohamed Akmal berkata ia bagi mengelak timbulnya salah faham yang boleh menjejaskan usaha konservasi hidupan liar negara dan hubungan kerjasama antarabangsa yang telah terjalin.
DAK kini ditempatkan di Zoo Tennoji di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa yang dipersetujui antara zoo berkenaan dengan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili MPT pada 19 Mei 2022 dan 6 Okt 2022.
Perjanjian antara kedua-dua pihak itu juga adalah bagi tempoh 25 tahun.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: RTM Sedia Tawar Platform Dialog Antara Maszlee dan Onn Hafiz - Fahmi
- Polis Kesan Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh Warga Asing
- Somnath Ghosh Dilantik Pesuruhjaya Tinggi Baharu India Ke Malaysia
- Pengukuhan Ringgit Dorong Eksport Malaysia Lebih Kompetitif Di Pasaran Luar Negara - MITI
- Penemuan Mayat Bekas Banduan Diklasifikasi Kes Mati Mengejut - Polis