02/07/2026 07:29 PM

Kawalan Sempadan Terus Diperkukuh Susulan Insiden Letupan Di Tak Bai - Adly

KOTA BHARU, 2 Julai (Bernama) -- Kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand terus diperkukuh susulan kejadian letupan bom yang mencederakan dua rakyat Malaysia di Tak Bai, Narathiwat, Isnin lepas.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata walaupun insiden itu berlaku di luar Malaysia, aspek keselamatan anggota yang bertugas serta rakyat negara ini kekal menjadi keutamaan.

“Komunikasi dan pertukaran maklumat sentiasa dilakukan dengan pihak berkuasa Thailand dan segala perkara berkaitan keselamatan rakyat diberi keutamaan.

“Sebarang kejadian di kawasan sekitar akan dipantau, selain memperkukuh aspek keselamatan tanpa mengabaikan usaha membanteras aktiviti penyeludupan yang melibatkan semua agensi penguat kuasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera Edisi Pantai Timur di sini hari ini. 

Beliau berkata kerjasama dengan tentera Thailand juga terus diperkukuh melalui komunikasi berterusan, selain perbincangan menerusi Jawatankuasa Sempadan Bersama yang membincangkan isu-isu berkaitan kepentingan kedua-dua negara.

Adly berkata Malaysia turut menjalin hubungan baik dengan negara-negara ASEAN, termasuk dalam aspek perkongsian maklumat keselamatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Media sebelum ini melaporkan dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka rosak teruk akibat letupan bom di sebuah jalan di daerah Tak Bai, Narathiwat, Isnin lepas.

Dua mangsa, Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38, yang sedang bercuti di Narathiwat, menerima rawatan awal di Hospital Narathiwat sebelum dibawa pulang ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Sementara itu, Adly berkata Kementerian Pertahanan akan membuat siasatan terperinci berhubung punca kejadian yang mengakibatkan dua anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera ketika latihan menggunakan senjata berat di Kem Hobart, Kedah pada Isnin lepas.

Beliau berkata siasatan akan melibatkan penilaian terhadap dua faktor penting kejadian iaitu faktor manusia dan aspek teknikal peralatan atau senjata.

"Walaupun kejadian seumpama ini jarang berlaku, setiap kejadian akan dinilai secara menyeluruh sebelum langkah penambahbaikan dilaksanakan bagi mengelak ia berulang. Apabila menerima laporan siasatan, kita akan menentukan langkah susulan yang perlu diambil dan ini tindakan lazim yang dilakukan setiap kali berlaku sesuatu insiden,” katanya.

Adly berkata keputusan akhir siasatan akan menjadi asas kepada sebarang tindakan susulan yang perlu dilakukan termasuk penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan anggota.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian  6.05 petang pada 29 Jun lepas, seorang pelatih berpangkat koperal berusia 29 tahun cedera pada lutut kiri, manakala seorang jurulatih berpangkat sarjan berusia 35 tahun cedera pada paha kiri.

Ketika kejadian, kedua-dua mangsa bersama peserta lain sedang mengikuti latihan pelbagai senjata yang bermula pada 29 Jun dan dijadualkan berakhir hari ini.

-- BERNAMA