Loke Terbuka Berdepan Mana-mana Calon Di DUN Chennah
SEREMBAN, 2 Julai (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke berkata beliau bersedia berdepan dengan mana-mana calon yang ingin bertanding di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Loke yang juga Setiausaha Agung DAP berkata sesiapa sahaja berhak menawarkan diri sebagai calon selaras dengan amalan demokrasi negara, selain menyifatkan pertandingan dalam pilihan raya sebagai perkara biasa.
“Kita (Malaysia) negara demokrasi. Siapa nak jadi calon, silakan... itu hak masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program MyLesen B2 Peringkat Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan bahawa ahli perniagaan Albert Tei tidak menolak kemungkinan bertanding di DUN Chennah selepas menerima tawaran daripada sebuah parti politik.
Loke bagaimanapun sempat mengingatkan mana-mana individu yang berhasrat bertanding di kerusi DUN supaya memastikan mereka memenuhi syarat kelayakan ditetapkan, termasuk menukar alamat mengikut kawasan yang ingin ditandingi.
Beliau berkata tumpuan utamanya pada masa ini bukanlah soal lawan politik, sebaliknya meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat Chennah.
Amanah yang diberikan pengundi sejak tiga penggal lepas, katanya kekal menjadi keutamaan berbanding memikirkan siapa yang bakal mencabarnya pada pilihan raya akan datang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada 18 Julai ini, hari pengundian pada 1 Ogos manakala 28 Julai bagi pengundian awal.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Polis Kesan Lelaki Bantu Siasatan Kes Bunuh Warga Asing
- Somnath Ghosh Dilantik Pesuruhjaya Tinggi Baharu India Ke Malaysia
- Pengukuhan Ringgit Dorong Eksport Malaysia Lebih Kompetitif Di Pasaran Luar Negara - MITI
- Penemuan Mayat Bekas Banduan Diklasifikasi Kes Mati Mengejut - Polis
- AS Sumbang RM1 Juta Bagi Projek Restorasi Tugu Negara