Melaka Peruntuk Lebih RM45 Juta Perkasa Institusi Pendidikan Islam
MELAKA, 2 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM45 juta untuk memperkasa sekolah agama, taman didikan kanak-kanak (tadika) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), institusi tahfiz dan pusat pengajian al-Quran pada tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata hasil usaha berterusan kerajaan negeri itu, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM6.87 juta bagi memperkukuh prasarana di 134 institusi pendidikan Islam di seluruh negeri berkenaan.
"Bagi kerajaan negeri, pendidikan agama bukan sekadar pelengkap kepada sistem pendidikan tetapi asas yang membentuk insan, akar yang mengukuhkan akhlak dan benteng yang melahirkan generasi Ulul Albab.
"Atas kerangka itulah, kerajaan negeri terus melaksanakan pelbagai inisiatif secara menyeluruh bagi memperkasa kecemerlangan murid, memperkukuh institusi pendidikan Islam, memartabat profesion perguruan serta memastikan syiar Islam terus berkembang mekar di bumi bertuah ini," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Guru 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Agama Sesi 2025 JAIM, yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.
Ab Rauf berkata antara inisiatif dilakukan termasuk menaikkan elaun Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Guru Tadika JAIM kepada RM1,700 sebulan sebagai lambang penghormatan dan penghargaan kepada insan yang mengabdikan kehidupan mereka dalam membimbing anak Melaka.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga meneruskan inisiatif elaun cuti bersalin kepada guru wanita JAIM sebagai tanda kerajaan sentiasa memahami dan menghargai peranan besar mereka, bukan sahaja sebagai pendidik malah sebagai seorang ibu yang turut membentuk generasi pewaris negeri itu.
Pada majlis itu, sebanyak 84 pelajar daripada 28 sekolah yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik manakala 149 guru JAIM menerima Anugerah Perkhidmatan Prestasi Cemerlang.
Sementara itu, Anugerah Tokoh Guru JAIM disampaikan kepada bekas Guru Besar Sekolah Rendah Agama JAIM Paya Rumput Shamsiah Zakariah.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Evotooth Platinum Dapat Pengiktirafan The Asia Records Atas Kejayaan Tiga Inovasi Penjagaan Mulut
- Bursa Malaysia Teruskan Kenaikan Untuk Ditutup Tinggi
- Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Jamuan Teh Alumni Sekolah Datin Khadijah
- Loke Terbuka Berdepan Mana-mana Calon Di DUN Chennah
- KESUMA Cadang Ganti Pinjaman PTPK Dengan Geran