Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Jamuan Teh Alumni Sekolah Datin Khadijah
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Bersama Alumni Sekolah Datin Khadijah, Kuala Kangsar, hari ini yang menghimpunkan kira-kira 800 bekas pelajar sekolah berkenaan.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Alumni Sekolah Datin Khadijah, Sharifah Muriana Wafa Syed Khalid Wafa, bersama barisan jawatankuasa penganjur.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berkenan menyaksikan tayangan video yang mengimbau kenangan zaman persekolahan, selain beramah mesra dan bergambar bersama alumni.
Sharifah Muriana Wafa berkata majlis itu dianjurkan bagi menghimpunkan semula bekas pelajar daripada pelbagai generasi, di samping memberi peluang kepada mereka bertemu Raja Permaisuri Agong yang juga bekas murid sekolah itu.
Katanya sasaran awal untuk menghimpunkan 800 alumni berjaya dicapai dalam tempoh kira-kira sebulan hasil kerjasama wakil setiap kumpulan yang membantu mengesan semula rakan lama.
Sharifah Muriana Wafa berkata majoriti alumni yang hadir berusia 60 tahun ke atas dengan peserta tertua berumur lebih 80 tahun.
Bagi mengabadikan kenangan pertemuan itu, jawatankuasa penganjur turut menghasilkan sebuah buku khas yang memuatkan sejarah sekolah, gambar serta kisah alumni, yang mengambil masa 10 bulan untuk disiapkan sebelum dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda sebagai cenderamata.
Raja Zarith Sofiah menerima pendidikan rendah di Sekolah Datin Khadijah, Kuala Kangsar dari 1966 hingga 1971 sebelum menyambung pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom, Kuala Kangsar.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Tanah Terbiar Perlu Dibangunkan Secara Produktif - Sultan Pahang
- Kerajaan Tawar Diskaun 10 Peratus Pembelian Rumah Sempena AREC 2026 - Nga
- Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah
- PRN Johor: Isu Penyelenggaraan Jalan Perlu Komitmen Semua Pihak - Ahmad
- Lapan Sami Terkorban Lori Pikap Rempuh Kumpulan Penziarah Keagamaan