02/07/2026 07:46 PM

Evotooth Platinum Dapat Pengiktirafan The Asia Records Atas Kejayaan Tiga Inovasi Penjagaan Mulut

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Evotooth Platinum Sdn Bhd menerima pengiktirafan secara rasmi daripada The Asia Records atas kejayaan tiga inovasinya dalam penjagaan kesihatan mulut.

Evotooth Platinum dalam satu kenyataan hari ini berkata pencapaian itu telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai penyumbang kepada kemajuan saintifik dan pergigian bertaraf dunia.

Pengiktirafan itu dianugerahkan kepada syarikat tersebut atas kejayaannya membangunkan buih berus gigi tanpa fluorida pertama di dunia yang direka khusus untuk gigi sensitif, salutan perlindungan berasaskan protein berpaten pertama di dunia untuk enamel gigi dan permukaan gigi paling licin selepas memberus.

Evotooth Platinum yang diterajui oleh Dr Martin Ong mengkhususkan penyelidikan dan pembangunan selama bertahun-tahun bagi melakukan revolusi dalam penjagaan mulut konvensional melalui pendekatan berasaskan sains.

“Antara inovasi utama syarikat ialah buih berus gigi tanpa fluorida yang menawarkan penyelesaian penjagaan mulut alternatif kepada pengguna tanpa menjejaskan keberkesanan pembersihan gigi.

"Syarikat juga membangunkan teknologi salutan pelindungan berasaskan protein berpaten yang direka bagi mewujudkan lapisan pertahanan tambahan untuk enamel gigi bagi menggalakkan penjagaan kesihatan mulut bagi tempoh jangka panjang," katanya.

Membuktikan lagi keberkesanan inovasinya, produk Evotooth juga berjaya mencapai tahap permukaan gigi paling licin selepas memberus gigi, sekali gus menunjukkan komitmennya untuk menggabungkan penyelidikan saintifik bagi memberi manfaat  ketara kepada pengguna.

Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Dr Ong berkata syarikat itu berbesar hati menerima penghargaan tersebut daripada The Asia Records.

"Pencapaian ini mencerminkan komitmen kami untuk memajukan penjagaan kesihatan mulut melalui inovasi, penyelidikan dan penyelesaian berasaskan sains yang dapat meningkatkan kehidupan dan menggalakkan senyuman yang lebih sihat di seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, The Asia Records mengucapkan tahniah kepada Dr Ong dan Evotooth Platinum atas pencapaian cemerlang tersebut dan berharap syarikat itu dapat terus memberi  sumbangan berterusan dalam membentuk masa depan inovasi penjagaan kesihatan mulut.

-- BERNAMA