Anwar Utus Surat Kepada Xi Jinping, Ucap Tahniah Sempena Ulang Tahun Parti Pemerintah China
KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan tahniah kepada Kerajaan China sempena ulang tahun ke-105 parti pemerintah negara berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau telah mengutus surat kepada Presiden China Xi Jinping, bagi menyampaikan ucapan tahniah daripada kerajaan dan rakyat Malaysia itu.
Perdana Menteri berkata beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap perjalanan panjang parti pemerintah China yang telah membentuk kemajuan negara itu berteraskan kekuatan tamadun, sejarah dan nilai-nilai yang diwarisi sejak sekian lama.
“Saya juga mengimbau keputusan bersejarah Malaysia pada 31 Mei 1974 sebagai negara bukan sosialis pertama di Asia Tenggara yang mengiktiraf Republik Rakyat China.
“Keputusan yang dibuat dengan penuh kebijaksanaan dan pandangan jauh itu terus menjadi asas kukuh kepada hubungan erat yang telah diperkukuh selama lebih lima dekad,” kata Anwar.
Beliau juga mengulangi komitmen Malaysia untuk terus memperdalam kerjasama strategik dengan China berlandaskan rasa hormat, kepercayaan dan manfaat yang dikongsi demi keamanan, kestabilan serta kemakmuran serantau.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- FAMA Perlis Rangka Langkah Proaktif Atasi Lebihan Pengeluaran Durian
- Penduduk Di Bukit Bertam Bantah Projek Ladang Ayam Baharu
- PRN Johor: BN Harap Sokongan PAS Di Kerusi Bersatu
- PRN Johor: Amirul Huzni Pertaruh Semangat Anak Muda Di Sedili
- Sarawak Alu-Alukan Tambahan Geran Khas Jika Fiskal Persekutuan Mengizinkan - Abang Johari