02/07/2026 01:23 PM

Insiden Disifatkan Sebagai Sabotaj Tidak Jejas Momentum Kempen PH - Fuziah

JOHOR BAHRU, 2 Julai (Bernama) -- Kempen Pakatan Harapan (PH) di kawasan yang ditandingi calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor terus berjalan dengan lancar walaupun berdepan dengan beberapa insiden kecil yang disifatkan sebagai cubaan mensabotaj kempen mereka.

Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh antara insiden terbabit termasuklah menurun dan merosakkan poster serta membakar bendera parti, namun ia tidak memberi kesan terhadap momentum keseluruhan kempen PH yang sedang berjalan.

“Memang ada sedikit-sedikit insiden seperti poster koyak, billboard rosak dan bendera dibakar, tetapi secara keseluruhannya kempen kita (pada PRN Johor) masih tenang dan momentum (kempen PH) tidak terjejas,” katanya pada sidang media sempena tinjauan mekanisme bantuan subsidi Budi Madani Diesel di stesen minyak, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo.

Fuziah yang juga merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata intensiti kempen PH terus diperhebatkan dengan setiap calon parti itu mempunyai jadual kempen yang padat bermula selepas Subuh melangkaui sehingga ke tengah malam, menghadiri sehingga 10 program setiap hari.

Maklum balas daripada pengundi terhadap calon PH khususnya golongan muda dan pengundi kali pertama amat positif serta menunjukkan peningkatan sokongan, katanya.

Mengenai calon PH Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai dan Perling yang mengumumkan apa yang didakwa mereka sebagai manifesto lebih awal, beliau menjelaskan ia bukan manifesto rasmi parti sebaliknya hanya komitmen atau tekad calon terhadap kawasan masing-masing.

Beliau berkata isu seperti penyelesaian masalah setempat termasuk kutipan sampah tidak boleh dianggap sebagai manifesto kerana ia bukan dasar menyeluruh kerajaan negeri.

“Bila kita bercakap pasal manifesto, kita bercakap tentang dasar besar yang boleh dan akan dilaksanakan apabila PH menjadi kerajaan negeri. Apa yang disebut oleh calon itu hanyalah tekad untuk membantu kawasan masing-masing.

“Itu bukan manifesto, itu lebih kepada usaha atau tekad calon untuk membantu kawasan mereka sahaja, bukan dasar besar kerajaan negeri,” katanya.

Manifesto PH untuk PRN Johor dijangka diumumkan esok.

Sebanyak 172 calon bertanding dalam PRN Johor yang berlangsung pada 11 Julai, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

-- BERNAMA