Anwar Harap Buku Gagasan Anwar Ibrahim Dalam Peradaban Budaya Bangsa Jadi Rujukan
KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap buku “Gagasan Anwar Ibrahim Dalam Peradaban Budaya Bangsa” yang menghimpunkan idea, pandangan dan pengalaman hidup beliau dapat menjadi sumber rujukan generasi akan datang, khususnya dalam aspek pembangunan bangsa dan pembentukan nilai diri.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar berkata beliau berkesempatan meneliti serta memberikan pandangan terhadap manuskrip penulisan buku yang dihasilkan oleh pensyarah dan pakar linguistik Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya Profesor Dr Salinah Ja’afar.
Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap penglibatan Tokoh Akademik Negara dan Tokoh Bahasa Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Abdul Karim, sebagai pakar rujuk dalam penyediaan serta pengolahan kandungan buku berkenaan.
Perdana Menteri berkata beliau turut ditemu bual secara ekslusif oleh kedua-dua tokoh itu, bagi merangkumi keseluruhan kandungan buku tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih di atas usaha daripada penulis yang ingin merakam serta menggarap idea, pandangan dan sudut fikir saya dalam pengalaman hidup dan pembacaan yang akan diulas secara terperinci di dalam buku ini.
“Harapan saya, naskhah ini kelak akan dijadikan sumber rujukan buat generasi yang mendatang, khususnya dalam aspek pembangunan bangsa dan nilai diri untuk manfaat bersama,” kata Anwar.
-- BERNAMA