01/07/2026 07:50 PM

Kerajaan Sarawak Lulus Pelantikan Bintulu Port Sebagai operator Pelabuhan Bintulu

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sarawak telah memberikan kelulusan secara prinsip bagi pelantikan anak syarikat milik penuh Bintulu Port Holdings Bhd, Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB) sebagai operator Pelabuhan Bintulu di bawah Seksyen 12(2) Ordinan Lembaga Pelabuhan 1961.

Susulan pertukaran status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri pada 21 Jun, Lembaga Pelabuhan Bintulu (Sarawak) dan BPSB akan memeterai serta melaksanakan perjanjian secara prinsip (perjanjian induk) sementara menunggu pemuktamadan dan pelaksanaan perjanjian konsesi operasi pelabuhan (POCA).

“Sementara menunggu pelaksaaan POCA, BPSB akan terus mengawal, mengurus, mengendalikan dan menjalankan perniagaan operasi pelabuhan di Pelabuhan Bintulu selaras dengan undang-undang yang terpakai dan terma yang akan dipersetujui antara kedua-dua pihak,” menurut Bintulu Port Holdings dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

-- BERNAMA