01/07/2026 07:56 PM

Dr Savitha Dharan Dilantik CEO Baharu Thomson Hospital Kota Damansara

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Dr Savitha Dharan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Thomson Hospital Kota Damansara, berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, pihak hospital memaklumkan bahawa Dr Savitha mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam amalan klinikal, operasi hospital, perkongsian strategik, pembangunan perniagaan serta kepimpinan dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Pelantikan Dr Savitha menegaskan komitmen Thomson terhadap kepimpinan berteraskan klinikal, dengan mengiktiraf bahawa kepakaran klinikal yang kukuh, digabungkan dengan keupayaan pengurusan yang mantap, menjadi asas kepada pembuatan keputusan berpusatkan pesakit serta penyampaian perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences Berhad Datuk Dr Adzuan Rahman berkata pihaknya mengalu-alukan kehadiran Dr Savitha ke dalam keluarga TMC Life Sciences.

Beliau berkata latar belakang klinikal yang kukuh, kepimpinan terbukti serta visi strategik Dr Savitha menjadikan beliau calon tepat untuk menerajui Thomson Hospital Kota Damansara ke fasa pertumbuhan seterusnya.

“Kami yakin beliau akan terus memperkukuh kedudukan hospital ini sebagai penyedia penjagaan kesihatan unggul pelbagai disiplin, selain memajukan komitmen kami terhadap kecemerlangan klinikal, inovasi dan penjagaan berasaskan nilai,” katanya.

Mengulas pelantikan itu, Dr Savitha berkata beliau berbesar hati untuk menerajui Thomson Hospital Kota Damansara yang mempunyai reputasi kukuh dalam penyampaian penjagaan pesakit yang cemerlang.

“Sebagai doktor dan pemimpin kesihatan, saya percaya hasil terbaik dicapai dengan memperkasa warga kerja, menerima inovasi serta menambah baik pengalaman pesakit secara berterusan. Saya menantikan kerjasama bersama pasukan berdedikasi untuk membina asas kukuh hospital ini dan membentuk fasa kecemerlangan seterusnya,” katanya.

Menurut hospital itu, Dr Savitha memiliki Ijazah Sarjana Muda Perubatan, Pembedahan dan Obstetrik (MB BCh BAO) daripada Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI), selain melengkapkan pendidikan eksekutif dalam Pengurusan Penyampaian Penjagaan Kesihatan di Harvard Business School.

Selepas sedekad berkhidmat dalam amalan klinikal di sektor awam dan swasta, beliau kemudian beralih ke bidang kepimpinan kesihatan dengan memegang beberapa jawatan kanan dalam kumpulan dan institusi penjagaan kesihatan swasta, termasuk menerajui transformasi perniagaan, kecemerlangan operasi, inovasi perkhidmatan serta inisiatif pertumbuhan strategik.

-- BERNAMA