29/06/2026 07:41 PM

PRN Johor: 24,677 Kertas Undi Pos Dikeluarkan Hari Ini - SPR

JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengeluarkan sebanyak 24,677 kertas undi pos kepada individu yang layak mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pengeluaran kertas undi pos itu dilaksanakan oleh petugas pilihan raya di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau berkata urusan itu dijalankan mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

Khairul Shahril berkata daripada jumlah itu, sebanyak 23,288 daripada kertas undi pos itu adalah bagi kategori Borang 1A yang melibatkan petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera serta petugas media.

"Sebanyak 1,044 kertas undi pos pula dikeluarkan bagi kategori Borang 1B membabitkan warganegara Malaysia yang tinggal di luar negara, manakala 345 lagi bagi kategori Borang 1C melibatkan agensi atau organisasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

Khairul Shahril turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi dan mengisi Borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap dan betul.

Kertas berkenaan, katanya kemudian perlu dikembalikan segera kepada Pegawai Pengurus Dewan Undangan Negeri yang berkenaan, sebelum 5 petang pada hari pengundian, 11 Julai ini.

Beliau pada masa sama mengingatkan pengundi supaya sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos atau menularkannya menerusi media sosial.

Sebanyak 172 calon bertanding pada PRN Johor yang akan berlangsung 11 Julai ini manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor 

-- BERNAMA