29/06/2026 06:31 PM

PRN Johor: PH Waspada Persaingan Di 23 Kerusi Tidak Ditandingi PN - Liew

Oleh Muhammad Faiz Baharin

JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan berwaspada dalam menghadapi persaingan di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi Perikatan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Strategik DAP Liew Chin Tong berkata antara aspek yang diberikan perhatian ialah kecenderungan pengundi PN untuk memindahkan undi mereka kepada calon parti lain, yang berpotensi mempengaruhi keputusan di kerusi berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata sekiranya perkara tersebut berlaku, ia akan memberi cabaran kepada PH terutamanya calon DAP untuk menang di DUN ditandingi.

“Adakah undi penyokong PN itu boleh dipindakan...ini kita perlu beri perhatian, kerana setiap pilihan raya itu membawa ancaman ataupun kemungkinan yang kita tak sangka.

“Yang penting kami akan berwaspada, berkempen sungguh-sungguh serta menawarkan idea-idea baharu supaya rakyat boleh menyokong kami,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

 

 

Mengulas strategi keseluruhan PH bagi menghadapi PRN Johor, Liew yang juga penyandang kerusi DUN Perling berkata gabungan itu, mempertaruhkan barisan calon muda dan berwibawa yang difikirkan paling terbaik untuk setiap kawasan DUN.

Ditanya mengenai keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Perling yang dimenanginya pada PRN Johor 2022, beliau berkata tindakan itu diambil selaras dengan prinsip DAP yang tidak menggalakkan seseorang wakil rakyat memegang jawatan pada peringkat Parlimen dan DUN secara serentak.

“Saya juga semestinya berhasrat untuk memberi laluan kepada bakat lain di dalam DAP yang boleh memainkan peranan dengan baik dan berkesan di peringkat DUN,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, Liew memberi laluan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Alan Tee Boon Tsong, untuk bertanding di kerusi DUN Perling.

DUN Perling yang mempunyai 109,992 pemilih berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Tee, calon Barisan Nasional (BN) P. Pannir Selvam dan Boo Wei Han mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.   

-- BERNAMA

 

N46: PERLING - 109,992 pengundi

1. P. Pannir Selvam (BN-MIC)

2. Alan Tee Boon Tsong (PH-DAP)

3. Boo Wei Han (Bersama)

(2022: Liew Chin Tong: PH-DAP: Maj: 3,347)