KKM Pastikan Rantaian Bekalan Ubat Stabil, Wajibkan Pelaporan Gangguan Mulai 1 Julai
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan pelbagai mekanisme bagi memastikan rantaian bekalan ubat-ubatan import negara kekal stabil dan terkawal, meskipun berdepan risiko rentetan daripada konflik di Asia Barat.
Sebagai langkah proaktif, KKM akan menguatkuasakan pelaporan secara mandatori ke atas Pemegang Pendaftaran Produk (PRH) berhubung sebarang gangguan dan pemberhentian bekalan ubat-ubatan bermula 1 Julai ini.
Melalui mekanisme tersebut, PRH perlu melaporkan maklumat ubat yang bakal mengalami gangguan bekalan seawal enam bulan sebelum ia dijangka berlaku, manakala pelaporan segera diperlukan sekiranya gangguan terjadi secara tiba-tiba.
“Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) akan memaparkan maklumat ini dalam Database Medicine Shortage and Discontinuation yang boleh dicapai oleh pihak industri, profesional kesihatan dan orang awam,” katanya.
KKM memaklumkan perkara itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Datuk Shahelmey Yahya (BN-Putatan) mengenai mekanisme memastikan rantaian bekalan ubat import tidak terjejas dan bentuk persediaan keterjaminan ubat-ubatan di Sabah.
Selain itu, KKM telah melaksanakan langkah mitigasi termasuk pempelbagaian sumber pembekalan daripada negara alternatif yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber.
Berhubung keterjaminan ubat-ubatan di Sabah bagi perkhidmatan kesihatan awam, KKM memaklumkan status bekalan di negeri itu juga stabil dan terkawal walaupun mempunyai cabaran logistik yang unik disebabkan faktor geografi.
Bagi memastikan kelangsungan bekalan, KKM kini memberikan tumpuan kepada pengukuhan perancangan inventori dan keterjaminan stok di fasiliti kesihatan bagi memastikan bekalan mencukupi khususnya di kawasan pedalaman dan sukar diakses.
“Selain itu, pemantapan fungsi stor logistik negeri (Cawangan Farmasi Logistik Negeri Sabah) dan rangkaian pengedaran ubat bagi meningkatkan kecekapan penyimpanan serta penghantaran bekalan ke hospital dan klinik kesihatan di seluruh negeri,” katanya.
KKM turut menyediakan pelan kontingensi bagi ubat-ubatan kritikal, merangkumi pengagihan kecemasan dan mobilisasi stok antara fasiliti sekiranya berlaku kekurangan stok setempat akibat faktor cuaca atau gangguan pengangkutan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- PRN Johor: Tiga Calon PH Bertembung Calon BN, Senyum Bukti Kematangan Kempen
- Letupan Bom Di Narathiwat: Dua Rakyat Malaysia Cedera Guna Laluan Sah - Polis
- PRN Johor: 24,677 Kertas Undi Pos Dikeluarkan Hari Ini - SPR
- Seorang Lemas, Lima Selamat Dalam Kejadian Bot Nelayan Terbalik
- Ahli Parlimen Gesa Langkah Lebih Tuntas Tangani Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak