29/06/2026 07:39 PM

Letupan Bom Di Narathiwat: Dua Rakyat Malaysia Cedera Guna Laluan Sah - Polis

KOTA BHARU, 29 Jun (Bernama) -- Dua lelaki warganegara tempatan yang cedera dalam kejadian letupan bom di daerah Tak Bai, Narathiwat, selatan Thailand pagi tadi, memasuki negara jiran itu melalui laluan yang sah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian dari polis Thailand dan mendapati seorang mangsa berasal dari Kelantan, manakala seorang lagi dari Sabah.

“Kita percaya keluarga mangsa sudah mengetahui kejadian yang berlaku dan polis Kelantan akan berusaha membantu apa sahaja yang diperlukan.

“Bagaimanapun, kita menunggu siasatan lanjut daripada pihak polis Thailand,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Yusoff menasihati rakyat Malaysia terutama dari Kelantan agar tidak ke negara jiran itu, sekiranya tiada urusan penting bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“Sebelum ini kejadian seumpama berlaku lebih 80 kilometer (km) dari sempadan, namun apa yang berlaku hari ini hanya 15km sahaja dari sempadan Malaysia,” katanya.

Dalam kejadian 11.40 pagi itu, mangsa masing-masing berusia 38 dan 45 tahun dalam perjalanan dari Tak Bai ke bandar Narathiwat cedera, selepas terkena letupan bom yang menyasarkan sebuah kenderaan pasukan sukarelawan keselamatan di daerah itu.

Ketua Polis Narathiwat Mejar Jeneral Polis Prayong Khoksakha berkata siasatan awal mendapati, bom buatan sendiri (IED) seberat kira-kira 70 kilogram itu diaktifkan menggunakan telefon bimbit dengan sasaran utama serangan ialah kenderaan pasukan sukarelawan Sungai Golok yang sedang melalui lorong kanan jalan.

Bagaimanapun, sebuah kereta yang dinaiki dua rakyat Malaysia telah memotong kenderaan berkenaan sejurus sebelum bom itu diletupkan, menyebabkan kenderaan mereka terkena impak letupan.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Narathiwat Ratchanakarin untuk menerima rawatan, dengan seorang daripada mereka dilaporkan mengalami kecederaan parah.

-- BERNAMA