29/06/2026 07:28 PM

Ahli Parlimen Gesa Langkah Lebih Tuntas Tangani Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini mengemukakan pelbagai cadangan bagi memperkukuh usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak, termasuk memperluas kerjasama rentas sempadan, menubuhkan pasukan petugas dan unit pendakwaan khas, serta memperkemas bantuan perlindungan dan pemulihan mangsa.

Pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyokong pindaan itu sambil mengemukakan beberapa syor penambahbaikan.

Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkata Malaysia perlu memanfaatkan mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dan ekstradisi bagi memastikan pemangsa seksual kanak-kanak yang beroperasi dari luar negara, tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Penguatkuasaan juga perlu diperkasakan menerusi penyelarasan lebih baik antara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital dan institusi pendidikan, supaya siasatan, pemeliharaan bukti digital serta pendakwaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap,” katanya pada sesi itu.

Senada dengannya, Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mencadangkan penubuhan pasukan petugas khas bagi jenayah seksual digital terhadap kanak-kanak, yang menggabungkan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan untuk mempercepat siasatan serta menyelaras tindakan terhadap kes rentas sempadan.

Beliau turut menggesa kerajaan memperhebat pendidikan keselamatan digital di sekolah serta memperkasakan ibu bapa supaya lebih peka mengenal pasti tanda-tanda awal pengantunan dalam talian dan eksploitasi seksual terhadap kanak-kanak.

“Usaha kita tidak boleh berhenti setakat menangkap dan menghukum pelaku. Mangsa juga mesti dipulihkan secara berterusan melalui sokongan psikologi, bantuan kewangan, perlindungan identiti dan pemulihan jangka panjang,” katanya.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) pula mencadangkan penubuhan unit pendakwaan khas bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, penambahan bilangan pakar psikologi kanak-kanak di fasiliti awam serta pewujudan dana khas untuk membantu mangsa menampung kos rawatan psikologi, guaman dan pemulihan.

Beliau berkata pindaan akta itu penting bagi menutup lompang undang-undang, supaya rakyat Malaysia tidak menjadikan negara yang mempunyai penguatkuasaan lebih lemah sebagai lokasi melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Sementara itu, RSN Rayer (PH-Jelutong) pula berkata selain memperluas bidang kuasa undang-undang ke atas kesalahan yang dilakukan di luar negara, kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan dalam negara dengan menambah keanggotaan pasukan penyiasat yang mengendalikan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Young Syefura Othman (PH-Bentong), mencadangkan penubuhan pangkalan data seperti Daftar Nasional Pesalah Seksual Kanak-Kanak, yang boleh diakses secara terkawal oleh agensi penguat kuasa serta institusi berkaitan kanak-kanak seperti sekolah, taska, pusat jagaan dan rumah kebajikan.

“Mereka yang pernah disabitkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, tidak seharusnya diberi peluang untuk kembali bekerja dalam persekitaran yang memberikan akses kepada kanak-kanak.

“Kerajaan perlu mewajibkan semakan latar belakang jenayah seksual terhadap semua individu yang bekerja atau menjadi sukarelawan di rumah kebajikan, taska, tadika, sekolah, pusat tahfiz, institusi keagamaan, kelab sukan dan mana-mana organisasi yang melibatkan kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua.

Pindaan kepada Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) itu, antara lain bertujuan memastikan Malaysia tidak berdepan kekangan bidang kuasa dalam mengambil tindakan terhadap pelaku jenayah seksual kanak-kanak walaupun kesalahan berlaku di luar negara.

Sebanyak 26 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan RUU itu petang ini, sebelum persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan dan bersambung esok.

-- BERNAMA