Tourism Malaysia Alih Fokus Promosi Ke Pasaran Alternatif Susulan Krisis Asia Barat
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Tourism Malaysia mengalihkan fokus promosi pelancongan ke pasaran lebih stabil termasuk ASEAN, Asia Timur, Asia Selatan, Eropah, Afrika Utara dan Oceania sebagai langkah proaktif bagi mengurangkan kesan konflik di Asia Barat terhadap industri pelancongan negara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata langkah itu diambil bagi memastikan sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 tidak terjejas susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.
Beliau berkata keberkesanan strategi berkenaan disokong oleh prestasi semasa apabila ketibaan pelawat dari rantau Asia Pasifik bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini meningkat 35 peratus kepada 15.2 juta orang.
“Peningkatan ini akan membantu mengimbangi sebahagian kehilangan pelawat daripada pasaran yang terjejas, khususnya Asia Barat, selain berpotensi meningkatkan tempoh penginapan dan perbelanjaan pelawat di Malaysia," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berhubung pelan kontingensi Tourism Malaysia bagi mengalih fokus promosi ke pasaran alternatif susulan konflik di Asia Barat.
Chiew berkata selain memberi tumpuan kepada bandar-bandar utama di negara sasaran, Tourism Malaysia turut memperluaskan usaha promosi ke bandar tier dua dan tiga bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke Malaysia.
Pada masa sama, beliau berkata kementerian terus memperkukuh pelancongan domestik yang menjadi tulang belakang industri pelancongan negara melalui pelbagai inisiatif.
“Sebagai usaha untuk terus mengekalkan momentum pelancongan domestik, Tourism Malaysia melaksanakan inisiatif pemerkasaan pelancongan domestik melalui kempen Jom Cuti-Cuti Malaysia.
“Kempen ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia terus melancong dalam negara melalui penawaran pakej pelancongan, penginapan dan aktiviti pelancongan yang berpatutan serta bermutu,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan pemain industri termasuk pemilik produk pelancongan, hotel dan syarikat penerbangan, antaranya rangkaian Doce Group yang melibatkan 13 hotel serta kempen bersama Batik Air bagi tempoh Jun dan Julai tahun ini.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Imigresen Serbu Empat Premis Di Kulim, 17 Pati Ditahan
- KKM Pastikan Rantaian Bekalan Ubat Stabil, Wajibkan Pelaporan Gangguan Mulai 1 Julai
- Pasaran Gas Perlu Liberal Sepenuhnya Untuk Lonjak Persaingan, Pelaburan - Presiden MGA
- KSN Serah Surat Penempatan Kepada Tiga Pegawai Kanan Kerajaan
- 800 Lori Tiada Subsidi, KDEBWM Tanggung Kos Diesel RM5 Juta Sebulan