29/06/2026 12:08 PM

Calon PH Komited Teruskan Agenda Pembangunan DUN Tangkak

TANGKAK, 27 Jun (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Ee Chin Li komited untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu sekiranya sekali lagi diberikan mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penyandang kerusi itu selama tiga penggal daripada Pakatan Harapan (PH) berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk meningkatkan pembangunan fizikal serta menyelesaikan isu yang dihadapi penduduk di DUN Tangkak.

Beliau berkata antara pencapaian terbesar ialah pelaksanaan projek Jalan Pintas Muar-Tangkak-Segamat yang kini mencapai 70 peratus kemajuan hasil usaha bersama Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Projek ini amat penting bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan merancakkan pembangunan di bandar Tangkak. Jika diberi mandat sekali lagi, saya akan memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Selain itu, Ee berkata sebuah stadium mini bernilai kira-kira RM6 juta yang mendapat kelulusan peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 2025 kini berada dalam proses tender.

Beliau berkata kemudahan itu bakal menjadi fasiliti sukan pertama yang lebih lengkap bagi daerah Tangkak, sekali gus memberi manfaat kepada pelajar, atlet serta masyarakat setempat.

“Selama ini sekolah-sekolah terpaksa menyewa kemudahan milik swasta atau institusi pengajian tinggi untuk menganjurkan hari sukan. Dengan adanya stadium mini itu, beban berkenaan dapat dikurangkan selain menyediakan ruang riadah yang lebih baik kepada penduduk,” katanya.

Ee turut berazam memperjuangkan pembinaan Pusat Pentadbiran Daerah Tangkak yang telah lama dinantikan penduduk kerana dengan kewujudan pusat pentadbiran itu nanti akan memudahkan urusan mendapatkan pelbagai perkhidmatan kerajaan tanpa perlu ke daerah lain.

Beliau merayu agar pengundi terus memberikan kepercayaan kepadanya bagi memastikan kesinambungan projek-projek pembangunan yang sedang dan bakal dilaksanakan demi kesejahteraan penduduk Tangkak.

PRN Johor ke-16 menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Ee dan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Haw Chin Teck bagi kerusi DUN Tangkak.

-- LAGI

 

PRN-PROJEK (EE CHIN LI) 3 (AKHIR) TANGKAK

 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Julai ini manakala 7 Julai sebagai hari pengundian awal.

Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.

Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/. 

-- BERNAMA