29/06/2026 11:18 AM

PRN Johor: Hubungan Akrab, Rekod Perkhidmatan Di Pasir Raja Jadi Sandaran Dr Adham

KOTA TINGGI, 29 Jun (Bernama) -- Pengalaman luas sebagai wakil rakyat serta hubungan baik yang lama terjalin bersama masyarakat setempat menjadi sandaran utama calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja Datuk Seri Dr Adham Baba untuk meraih mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata kelebihan mengenali rapat landskap masyarakat setempat serta struktur keperluan penduduk di kawasan berkenaan membolehkan beliau menawarkan kesinambungan khidmat yang lebih efektif.

Beliau berkata hubungan yang dibina bukan sekadar ketika musim pilihan raya sebaliknya terjalin sejak sekian lama menerusi pelbagai inisiatif pembangunan modal insan dan pendidikan.

“​Kita mempunyai rekod data yang jelas. Di kawasan Pasir Raja dan (Parlimen) Tenggara ini sahaja, terdapat sekitar 2,300 anak muda yang sedang menuntut di IPTA (institusi pengajian tinggi awam) yang sentiasa kita bimbing dan beri bantuan spesifik.

“Hubungan ini bukan sekadar bermusim, malah kita mengenali ibu bapa mereka dengan rapat. Rekod dan sentuhan peribadi inilah yang menjadi asas keyakinan saya,” katanya kepada pemberita di sini.

Dr Adham berkata sekiranya diberi mandat, beliau akan meneruskan usaha memperkasakan pendidikan khususnya melalui program tuisyen pecutan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang pernah dilaksanakannya sebelum ini bagi memastikan anak-anak tempatan tidak tercicir daripada arus kemajuan negeri.

Selain aspek pendidikan dan kebajikan, beliau turut membawa visi ekonomi dinamik yang memberi manfaat langsung kepada pengundi muda yang mewakili 54 peratus daripada keseluruhan pemilih di DUN berkenaan.

Beliau bertekad untuk memastikan limpahan ekonomi daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dapat diwarta dan diperluas sehingga ke kawasan Pasir Raja, terutamanya menerusi pembangunan jajaran Sungai Johor.

“Sasaran saya adalah membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi ke sini. Dengan adanya pelaburan berskala besar, kita dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk anak-anak muda tempatan agar mereka tidak perlu berhijrah jauh,” katanya.

​Mengulas mengenai persaingan di kerusi berkenaan, Dr Adham memilih untuk tidak mahu terikat dengan politik serangan peribadi sebaliknya mahu menumpukan kepada agenda pembangunan yang telus.

“Fokus saya adalah bekerja keras bersama jentera, mendekati seberapa ramai pengundi dan menjelaskan visi sebenar yang kita bawa demi kestabilan serta kemakmuran Pasir Raja,” katanya.

Dr Adham merupakan ADUN Pasir Raja selama dua penggal dari 2008 hingga 2018, selain menjadi Ahli Parlimen Tenggara selama dua penggal dari 2004 hingga 2008 serta 2018 hingga 2022.

Kerusi DUN Pasir Raja yang mempunyai 29,818 pemilih berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Dr Adham, calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Fakharuddin Moslim dan Yuhanita Yunan daripada Perikatan Nasional (PN).

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N35: PASIR RAJA - 29,818 pengundi

1. Datuk Seri Adham Baba (BN-UMNO)

2. Yuhanita Yunan (PN-PAS)

3. Mohd Fakharuddin Moslim (PH-PKR)

 

(2022: Rashidah Ismail: BN-UMNO: Maj: 4,888)