Am 29/09/2026 02:28 PM

Kes Saravanan: Pembelaan Mahu Bicara Segera, Pendakwaan Perlu Sebulan Serah Dokumen

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Saravanan: Pembelaan Mahu Bicara Segera, Pendakwaan Perlu Sebulan Serah Dokumen
Bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan hadir ke Mahkamah Sesyen hari ini bagi sebutan kes rasuah yang dihadapinya berhubung kelulusan bagi permohonan 1,000 kuota pekerja asing, empat tahun lalu.

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Pihak pembelaan dalam kes rasuah bekas Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan hari ini memohon supaya perbicaraan kes itu ditetapkan segera memandangkan kes berkenaan sudah bermula sejak 2022 dan siasatan telah dijalankan sejak itu.

Saravanan berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili Saravanan membuat permohonan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus ketika pengurusan kes.

“Kes ini bermula sejak 2022 dan siasatan telah berlangsung sejak itu. Dokumen yang belum diserahkan masih boleh dikemukakan kepada pihak pembelaan sebelum perbicaraan bermula.

“Pihak pendakwaan boleh menyerahkan dokumen berkenaan pada bila-bila masa sebelum tarikh perbicaraan. Oleh itu, saya memohon supaya tarikh perbicaraan ditetapkan seawal mungkin,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya P. Rubini memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan 22 set dokumen kepada Geethan Ram pagi ini.

“Terdapat 22 set dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan pagi ini, Yang Arif. Bagaimanapun, masih terdapat beberapa dokumen yang perlu diserahkan kepada pasukan pembelaan. Oleh itu, saya memohon satu tarikh lain,” katanya.

Hakim kemudian beberapa kali bertanyakan jumlah dokumen yang masih belum diserahkan sebelum Rubini menjelaskan terdapat dua kategori dokumen masih perlu dikemukakan kepada pihak pembelaan, iaitu kertas Jemaah Menteri dan Memorandum Jemaah Menteri (MJM).

Ketika ditanya hakim mengenai jumlah kertas Jemaah Menteri yang terbabit dalam kes itu, Rubini berkata jumlahnya masih belum dapat ditentukan kerana pihak pendakwaan telah mengemukakan permohonan kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan dokumen berkenaan.

“Jumlahnya masih belum dapat ditentukan dan kami telah mengemukakan permohonan kepada Jemaah Menteri, Yang Arif. Pegawai penyiasat sedang dalam proses mendapatkan dokumen berkenaan,” katanya.

Hakim Azrul kemudian bertanya kepada Rubini mengenai tempoh diperlukan pihak pendakwaan untuk menyerahkan baki dokumen, dan beliau menjawab sekurang-kurangnya sebulan.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Nov depan untuk sebutan semula kes dan penetapan tarikh perbicaraan.

Pada 28 Ogos lepas, Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM1.097 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa secara rasuah menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 daripada pengarah Vectica Resources Sdn Bhd Tan Teck Lim, 65, melalui Syed Amirul Syed Ahmad, 38, di Bukit Jalil Golf & Country Resort dan Jalan Telawi 3, Bangsar, masing-masing pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.

Wang itu didakwa diterima sebagai dorongan dan upah kepada Saravanan, yang ketika itu Menteri Sumber Manusia, untuk meluluskan permohonan TYKB Engineering Sdn Bhd bagi mendapatkan kuota 1,000 pekerja asing.

Bagi pertuduhan ketiga, Saravanan didakwa secara rasuah menerima RM597,000 daripada individu sama melalui cek bank yang dimasukkan ke dalam akaun Big Seven Ventures Sdn Bhd bagi tujuan sama di Maybank Islamic Berhad cawangan Old Klang Road, Taman Desa di sini, pada 7 Julai 2022.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA