25/06/2026 05:36 PM

ASNB Isytihar Agihan Pendapatan 5.5 Sen Seunit Bagi ASB 3 Didik

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit untuk dana harga tetapnya, Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik), bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.

Menurut Permodalan Nasional Bhd (PNB), pengagihan pendapatan berjumlah RM480 juta itu akan memberi manfaat kepada 354,651 pemegang unit yang memegang sebanyak 9.85 bilion unit.

ASNB ialah syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB.

“Ini mewakili jumlah pulangan sebanyak 5.50 peratus, pengagihan tertinggi dana dalam tempoh lapan tahun lepas, sekali gus mengatasi penanda arasnya, kadar Deposit Tetap 12 Bulan Maybank sebanyak 2.05 peratus, iaitu sebanyak 345 mata asas.

“Setakat 22 Jun 2026, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM568 juta,” kata syarikat pengurusan dana itu dalam satu kenyataan hari ini.

PNB berkata ASB 3 Didik mencatatkan agihan pendapatan yang lebih tinggi sebanyak 5.50 sen seunit bagi tahun kewangan semasa, berbanding 5.25 sen seunit pada tahun sebelumnya, walaupun terdapat ketidakpastian kadar faedah, peningkatan ketegangan geopolitik dan turun naik pasaran yang berterusan dalam landskap pelaburan global. 

“Pengagihan yang lebih kukuh ini disokong oleh pendekatan pelaburan yang berdisiplin dan kemampuan dana memanfaatkan peluang yang terhasil daripada kepimpinan pasaran dipacu teknologi,” katanya. 

Menurut PNB, prestasi itu mencerminkan komitmen berterusannya untuk memberikan pendapatan yang mampan dan nilai jangka panjang kepada pelabur Bumiputera melalui pengurusan pelaburan yang berdisiplin dan proaktif.

“Sepanjang tahun kewangan, dana ini terus menjana sebahagian besar pendapatannya daripada keuntungan direalisasikan dan pendapatan dividen merentasi portfolio ekuiti domestik dan global yang pelbagai. 

“Seiring dengan perubahan keadaan pasaran, dana ini turut memperkukuhkan peruntukannya dalam aset pendapatan tetap bagi meningkatkan kestabilan dan daya tahan portfolio,” katanya. 

PNB menambah bahawa keputusan itu menggariskan pendekatan pelaburan berdisiplinnya disokong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin, pemantauan risiko yang aktif dan berterusan merentasi kitaran pasaran. 

-- BERNAMA