25/06/2026 06:45 PM

Lelaki Maut Terjun Jejambat Ketika Cuba Lari Pemeriksaan Polis

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas terjun dari sebuah jejambat dalam cubaan melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Pantai Dalam di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kejadian berlaku selepas anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Balai Polis Petaling Jaya yang menjalankan rondaan cegah jenayah mengesan kereta Proton Wira dinaiki tiga lelaki yang disyaki terlibat jenayah pada 7.45 malam.

Beliau berkata polis mengejar kereta itu dari Lebuhraya Baru Pantai (NPE) berhampiran plaza tol Taman Dato Harun hingga ke Jalan Pantai Dalam sebelum kenderaan tersebut terbabit kemalangan pada 9.50 malam.

"Proton Wira itu melanggar sebuah Perodua Axia yang bergerak di lorong sama sebelum kenderaan polis mengambil tindakan menghalang kereta tersebut sehingga berlaku perlanggaran pada bahagian sisi kenderaan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata pemandu Proton Wira bertindak keluar daripada kenderaan dan dipercayai terjun dari sebuah jejambat sebelum ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata mayat lelaki itu dibawa ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Fadil berkata dua lelaki berusia 29 dan 31 tahun yang berada di dalam Proton Wira ditahan bagi membantu siasatan, dengan seorang daripada mereka patah kaki kanan dan dirawat di PPUM.

“Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan suspek menemukan satu beg mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dan pil kuda manakala seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata semakan mendapati dua individu itu mempunyai lima rekod jenayah lampau, empat rekod dadah serta satu rekod dikehendaki bersabit kesalahan dadah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala siasatan kemalangan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA