Skim Insurans Baharu Tawar Perlindungan Lebih Luas Untuk Pekerja Domestik, Majikan - PAPA
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) melancarkan skim insurans yang menyediakan perlindungan seimbang serta menangani jurang struktur bagi majikan dan pekerja domestik di negara ini.
Presiden PAPA Datuk Foo Yong Hooi berkata polisi itu memperkenalkan ciri perlindungan penting termasuk pampasan bagi kes pekerja melarikan diri, kemasukan ke hospital dan penyakit yang sebelum ini kurang diberi perhatian.
“Inisiatif ini dibangunkan susulan kelompangan dalam sistem pengambilan pekerja domestik sedia ada dengan tempoh jaminan lazimnya antara tiga hingga enam bulan. Selepas tempoh itu tamat, majikan sering terdedah sepenuhnya kepada risiko kewangan,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Di bawah skim yang dibangunkan bersama GMAT Sdn Bhd dan Allianz Malaysia itu, majikan akan menerima pampasan RM5,000 sekiranya pekerja domestik melarikan diri dalam tempoh perlindungan insurans bagi membantu menampung kos pengambilan dan penempatan pekerja.
“Tahun pertama merupakan tempoh paling berisiko. Bermula tahun kedua, manfaat pekerja melarikan diri bernilai RM5,000 tidak lagi terpakai, namun manfaat lain termasuk perlindungan kemalangan diri dan kemasukan ke hospital akan terus berkuat kuasa,” katanya.
Polisi itu turut menyediakan perlindungan kemasukan ke hospital dan pembedahan bagi pekerja domestik yang tidak terhad kepada kecederaan berkaitan pekerjaan dengan turut meliputi penyakit umum. Ia merangkumi pampasan mingguan sehingga 12 minggu sekiranya pekerja domestik disahkan secara perubatan tidak layak menjalankan tugas, serta bantuan terhad bagi kehilangan dokumen penting seperti pasport.
Foo berkata skim itu menawarkan perlindungan lebih menyeluruh berbanding polisi serupa berkaitan pekerja melarikan diri yang diperkenalkan dua dekad lepas sebelum dihentikan berikutan tuntutan palsu, selain menangani kekurangan perlindungan perubatan berkaitan penyakit bagi pekerja domestik kerana mereka diklasifikasikan sebagai pekerja tidak formal.
“Perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terhad kepada kemalangan berkaitan pekerjaan... dan program ini direka untuk membantu menangani jurang berkenaan,” katanya sambil merujuk kepada kes penyakit sedia ada yang hanya dikesan selepas seseorang itu mula bekerja, sekali gus menyebabkan beban kewangan tidak dijangka kepada majikan.
Foo berkata program itu, walaupun pada awalnya diperkenalkan untuk ahli PAPA, turut terbuka kepada majikan lain yang mempunyai pekerja domestik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GMAT Sdn Bhd M. Marimuthu berkata polisi itu boleh dibeli secara dalam talian dan membolehkan pembayaran semula tuntutan perbelanjaan kemasukan ke hospital serta pembedahan di hospital swasta, tertakluk kepada had yang ditetapkan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Sepanyol Catat Lebih 200 Kematian Akibat Gelombang Haba Dalam Empat Hari
- Iraq Nafi Laporan Kemungkinan Keluar OPEC
- Inisiatif "Go Healthy With Taiwan" Terima Sambutan Positif Komuniti Perubatan Malaysia
- Lelaki Meninggal Dunia Ketika Bermain Boling
- Jepun Sedia Perkukuh Kerjasama Keselamatan Dengan Malaysia - Duta