TLDM, APMM Berjaya Laksana Eksesais OSTEX WEST 2026 Dan SAMUDERA PERKASA 9/26
IPOH, 25 Jun (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya melaksanakan Eksesais OSTEX WEST 2026 dan Eksesais SAMUDERA PERKASA 9/26 bermula 14 Jun dan berakhir hari ini.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat dalam kenyataan memaklumkan OSTEX WEST merupakan eksesais tahunan yang melibatkan hampir keseluruhan aset Armada Barat TLDM.
Eksesais SAMUDERA PERKASA pula adalah eksesais tahunan antara TLDM dan APMM yang dijalankan sejak 2016 melibatkan sebahagian kecil aset daripada kedua-dua perkhidmatan serta agensi.
"Gabungan kedua-dua eksesais telah meningkatkan kerjasama di antara TLDM dan APMM dari skala kecil kepada skala sederhana," menurut kenyataan itu.
Majlis penutup eksesais berkenaan berlangsung di Markas Wilayah Laut 3, Pangkalan TLDM Langkawi pagi tadi yang turut dihadiri Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya (M) Mohd Zawawi Abdullah.
Kenyataan itu memaklumkan eksesais kali ini melibatkan 10 kapal TLDM dan tiga kapal APMM serta sebuah helikopter TLDM dengan konsep pelaksanaan eksesais berkenaan adalah bertemakan peperangan maritim dan mencari dan menyelamat (SAR).
Turut terlibat dalam eksesais berkenaan adalah Tim Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Tim Pasukan Tindakan Khas APMM yang dilaksanakan di Pangkalan TLDM Lumut, perairan Selat Melaka Utara sehingga perairan Langkawi serta aktiviti penutup di Pangkalan TLDM Langkawi.
Kenyataan itu memaklumkan eksesais kali ini turut mencatat satu lagi pencapaian penting apabila TLDM berjaya melaksanakan latihan penembakan menggunakan sasaran udara jenis Target Drone di laut.
"Penggunaan teknologi ini bagi menggantikan ketiadaan sasaran tunda udara dilihat sebagai lebih menjimatkan kos. Di samping itu, ia tetap dapat membantu pelaksanaan latihan serta menguji keupayaan sistem penderia, persenjataan kapal dan kompetensi kru dalam menghadapi ancaman udara.
"Pelaksanaan ini juga menjadi satu pencapaian penting kepada TLDM dalam usaha untuk memperkenalkan teknologi dan pendekatan baharu dalam meningkatkan keberkesanan latihan serta operasi maritim," menurut kenyataan itu.
Dalam ucapan penutupnya, Baharudin berkata terdapat tiga pengajaran penting yang boleh diambil, iaitu walaupun tugas teras TLDM dan APMM berbeza, pada hakikatnya kawasan operasi kedua-duanya adalah sama.
Beliau berkata eksesais itu juga telah membuktikan bahawa TLDM dan APMM boleh dan sebenarnya perlu bekerjasama dalam memastikan keselamatan maritim negara.
"Akhir sekali, tindakan yang diambil seperti peningkatan kerjasama TLDM-APMM dalam eksesais ini akan mencorakkan tahap kerjasama dan corak pemikiran generasi kedua-dua pihak untuk masa akan datang," katanya dalam kenyataan itu.
Justeru, TLDM dan APMM akan terus komited memperkukuh kerjasama strategik melalui pelaksanaan latihan dan eksesais secara berterusan, selaras keperluan keselamatan maritim negara.
Kenyataan itu memaklumkan kejayaan penggabungan OSTEX WEST 2026 dan Eksesais SAMUDERA PERKASA 9/26 menjadi penanda aras baharu kepada usaha memperkasakan sinergi antara agensi maritim negara demi memastikan kepentingan serta kedaulatan maritim Malaysia sentiasa terpelihara.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Sepanyol Catat Lebih 200 Kematian Akibat Gelombang Haba Dalam Empat Hari
- Iraq Nafi Laporan Kemungkinan Keluar OPEC
- Inisiatif "Go Healthy With Taiwan" Terima Sambutan Positif Komuniti Perubatan Malaysia
- Lelaki Meninggal Dunia Ketika Bermain Boling
- Jepun Sedia Perkukuh Kerjasama Keselamatan Dengan Malaysia - Duta