25/06/2026 03:48 PM

Mindef Lancar PSPN 2026-2030, RTKP Pacu Kesiapsiagaan Pertahanan Negara

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) --  Kementerian Pertahanan melancarkan  Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026-2030 (PSPN) dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) bagi memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan negara dalam mendepani cabaran keselamatan. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kedua-dua dokumen itu dibangunkan sebagai pelengkap kepada Kertas Putih Pertahanan bagi memastikan perancangan pertahanan negara kekal relevan serta mampu menyesuaikan diri dengan cabaran semasa.

Beliau berkata dunia kini berdepan perubahan pesat melibatkan ketidaktentuan geopolitik, perkembangan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi, selain ancaman bukan tradisional yang semakin kompleks.

"Perubahan inilah yang telah kita teliti dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, bagi memperbaiki kelompongan dan membina perancangan pertahanan negara yang lebih responsif dan adaptif," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pelan itu, di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata PSPN 2026–2030 akan terus menyokong pelaksanaan Kertas Putih Pertahanan berlandaskan tujuh teras strategik termasuk kesiapsiagaan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pengukuhan keupayaan pertahanan, kebajikan anggota dan veteran serta pembangunan teknologi dan inovasi pertahanan.

Beliau berkata RTKP pula berperanan memastikan PSPN dapat dilaksanakan secara efektif melalui pengukuhan kapasiti merangkumi aspek kewangan, modal insan, kepakaran teknologi serta penyelarasan merentasi agensi kerajaan.

“Jika PSPN menentukan ke mana kita ingin pergi, RTKP memastikan kita mempunyai keupayaan untuk sampai ke sasaran ditetapkan.

"Keupayaan ini merangkumi soal kewangan, modal insan, kepimpinan, kompetensi profesional, kepakaran teknologi, penyelidikan, inovasi serta penyelarasan merentasi agensi kerajaan dan ekosistem pertahanan," katanya.

Beliau berkata pelan itu turut menzahirkan pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government) dan keseluruhan masyarakat (whole-of-society) yang menunjukkan bawah pertahanan negara bukan hanya terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan sahaja, sebaliknya adalah agenda nasional.

Sementara itu, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan turut menerima tiga unit Unmanned Aircraft System (UAS) ANKA MALE pada Mac lepas yang kini ditempatkan dan mula beroperasi di Pangkalan Udara Labuan sebagai antara usaha memperkukuh keupayaan ATM.

Beliau berkata ATM juga akan menerima pesawat tempur ringan FA-50M, pesawat peronda maritim dan Kapal Misi Persisir 'Batch 2' mengikut jadual.

-- BERNAMA