Bosnia Dan Herzegovina Tundukkan Qatar 3-1, Mara Ke Pusingan Seterusnya
ISTANBUL, 25 Jun (Bernama-Anadolu) -- Bosnia dan Herzegovina menundukkan Qatar 3-1 untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Dunia 2026 di Stadium Seattle (Lumen Field) Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi.
Bosnia bermula kukuh dan terus meningkatkan intensiti serangan mereka. Mereka mendahului pada minit ke-29 dengan rembatan kencang Kerim Alajbegovic dari luar kotak penalti.
Hanya lima minit kemudian, penyerang veteran Edin Dzeko, yang membuat penampilan ke-150 untuk Bosnia, memaksa Sultan Al-Brake dari Qatar melakukan gol sendiri pada minit ke-34 sekali gus menggandakan kelebihan.
Namun Qatar tidak berputus asa dengan mudah. Cuba untuk menguasai permainan sebelum tamat sesi pertama permainan, Hassan Al-Haydos menyerang pertahanan Bosnia dalam kotak penalti pada minit ke-42 untuk memberikan sinar harapan kepada pasukannya ketika separuh masa pertama berakhir.
Mencari gol ketiga mereka, Bosnia sekali lagi melancarkan serangan, mencari momentum tetapi tidak membuahkan hasil.
Selepas serangan bertubi-tubi Bosnia, gol ketiga mereka terhasil daripada jaringan Ermin Mahmic pada minit ke-80, yang menentukan kemenangan dan membolehkan Bosnia menarik nafas lega.
Hasil permainan itu, Bosnia menamatkan Kumpulan B pada tempat ketiga untuk mara ke Pusingan 32, manakala Qatar menamatkan peringkat kumpulan di tempat terakhir dan tersingkir daripada kejohanan.
Seterusnya Bosnia akan menentang AS dalam Pusingan 32, mara sebagai salah satu pasukan ketiga terbaik di bawah peraturan baharu FIFA.
-- BERNAMA-ANADOLU
Berita terkini
- PAS Umum 11 Calon Bertanding Pada PRN Johor
- Dakwaan Kerajaan Johor "Boneka Istana" Keterlaluan, Tiada Asas - Reezal Merican
- Bekalan Bahan Api Di Rangkaian Stesen Petronas Kekal Stabil Hingga Ogos
- Advokasi Akta Kanak-kanak, Antibuli Dan Kesalahan Seksual Akan Dilaksana - Fadhlina
- Polis Tumpas Sindiket Penipuan Pelaburan Minyak Wangi