25/06/2026 11:37 PM

Bekalan Bahan Api Di Rangkaian Stesen Petronas Kekal Stabil Hingga Ogos

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Bekalan bahan api di rangkaian stesen minyak Petroliam Nasional Bhd (Petronas) seluruh negara dijangka stabil dan mencukupi sehingga Ogos, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said. 

Beliau berkata ia adalah berdasarkan jawapan rasmi yang diterima daripada Petronas, sebagaimana yang dilaporkan di dalam mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

“Rangkaian ini merangkumi kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api domestik negara yang dibekalkan oleh Petronas melalui anak syarikat senaraian awamnya, Petronas Dagangan Bhd,” katanya menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Rakyat hari ini. 

Justeru, beliau berkata untuk memastikan keperluan bahan api negara mencukupi dan selaras dengan usaha kerajaan menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat, satu Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah MTEN telah ditubuhkan.

“Pasukan ini sentiasa memantau situasi bekalan bahan api, bahan bakar dan tenaga negara serta memastikan keterjaminan bekalan di bulan-bulan akan datang serta turut mengawal harga, mencegah aktiviti penyeludupan dan penyelewengan.

Tambahnya, usaha terus dijalankan untuk memperoleh bekalan minyak mentah daripada pengeksport luar Asia Barat seperti dari Afrika Barat dan Benua Amerika, tertakluk kepada kesesuaian gred minyak mentah dan terma komersial berkaitan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung kenyataan Petronas bahawa bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesen minyak adalah terjamin hanya sehingga akhir Jun 2026 dan pelan kontingensi kerajaan sekiranya krisis tenaga global berlanjutan.

-- BERNAMA