26/06/2026 12:35 AM

PAAB Tonggak Utama Pembangunan Sektor Air Negara - Fadillah

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) telah berkembang menjadi antara tonggak utama dalam memastikan pembangunan sektor air negara dilaksanakan secara lebih tersusun, mampan dan berkesan sepanjang dua dekad penubuhannya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata selama tempoh itu, institusi berkenaan telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh pembangunan aset dan infrastruktur air negara.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini sempena ulang tahun ke-20 PAAB, beliau menzahirkan penghargaan yang tinggi kepada seluruh warga kerja institusi tersebut di atas pencapaian yang membanggakan.

"Dua dekad bukanlah suatu tempoh yang singkat. Di sebalik setiap projek yang berjaya disiapkan, setiap aset yang dibangunkan dan setiap pencapaian yang diraikan hari ini, terdapat usaha gigih, komitmen tinggi serta pengorbanan warga kerja PAAB, kepimpinan organisasi dan rakan-rakan strategik yang sentiasa memberikan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur air, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan bahawa ia merupakan satu pelaburan jangka panjang yang hasilnya tidak sentiasa dapat dilihat dengan segera.

“Namun, manfaatnya dirasai setiap hari melalui bekalan air yang lebih terjamin, sistem yang lebih berdaya tahan serta keupayaan negara memenuhi keperluan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi. Inilah antara asas penting dalam memastikan kesejahteraan negara terus diperkukuh," katanya.

Menyentuh cabaran masa hadapan seperti perubahan iklim, pertambahan penduduk dan peningkatan permintaan sumber air, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mengutamakan agenda keterjaminan air selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang memerlukan komitmen berterusan, perancangan yang teliti serta kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan dan semua pihak berkepentingan.

Fadillah juga mendoakan agar PAAB terus maju jaya, kekal cemerlang sebagai institusi yang menyumbang kepada pembangunan negara dan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta keterjaminan bekalan air untuk generasi akan datang.

Beliau turut mengharapkan agar sambutan ulang tahun ke-20 ini menjadi pemangkin kepada kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.

-- BERNAMA