Polis Tumpas Sindiket Penipuan Pelaburan Minyak Wangi
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Polis menumpaskan satu sindiket penipuan pelaburan minyak wangi dengan penahanan enam warga tempatan dalam serbuan di sebuah premis di KL Eco City, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Basri Sagoni berkata kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita berusia antara 23 hingga 47 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua individu yang ditahan itu mempunyai peranan masing-masing dalam pengurusan dan operasi sindiket yang menyasarkan rakyat tempatan sebagai mangsa.
"Turut dirampas dalam serbuan itu adalah pelbagai barangan dan dokumen antaranya enam unit telefon bimbit, satu unit komputer, kad mesin juruwang automatik (ATM) atau debit, dokumen syarikat serta pelbagai stok produk minyak wangi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Basri berkata kesemua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau turut menasihatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penipuan pelaburan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Polis Sentul di talian 03-4048 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
-- BERNAMA