24/06/2026 06:18 PM

Kes Stadium Shah Alam: MRCB Peroleh Penghakiman Persetujuan Terhadap Aktivis

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) memperoleh penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap aktivis Abdul Razak Ismail berkaitan hantaran dalam talian mengenai perobohan dan pembangunan semula Stadium Shah Alam, yang didakwa oleh syarikat itu telah menyebabkan kerugian ekonomi.

Pesuruhjaya Kehakiman Shoba Rajah Dorai Rajah, pada Isnin (22 Jun), merekodkan perintah persetujuan selepas defendan pertama mencapai penyelesaian semasa pemeriksaan balas oleh peguam MRCB, Datuk Selva Mookiah.

Pada 2024, syarikat berkenaan memfailkan saman terhadap Abdul Razak dan penulis blog Murray Hunter berkaitan beberapa hantaran yang dimuat naik di Facebook serta platform Substack milik Hunter yang mempersoalkan projek perobohan dan pembangunan semula stadium terbabit.

Syarikat itu mendakwa penerbitan dalam talian itu merupakan satu bentuk sabotaj ekonomi dan telah menjejaskan MRCB.

Berdasarkan terma yang direkodkan di mahkamah, Abdul Razak bersetuju dengan injunksi kekal yang menghalangnya daripada menerbitkan atau menyebarkan semula dakwaan yang menjadi asas kepada saman berkenaan.

Abdul Razak juga berjanji untuk menurunkan semua hantaran berkaitan dalam tempoh 72 jam, tidak mengulangi dakwaan tersebut serta tidak bekerjasama dengan Hunter atau mana-mana pihak bagi menerbitkan dakwaan serupa berkaitan isu itu.

Selva ketika dihubungi berkata tindakan MRCB terhadap Hunter, yang dipercayai telah melarikan diri, akan tetap diteruskan.

Mahkamah menetapkan 10 Julai ini untuk hujahan pihak syarikat berhubung tuntutan terhadap Hunter, manakala keputusan dijadualkan pada 17 Julai.

-- BERNAMA